Pages

Sunday, March 29, 2009

KAU KUSAYANG-(Epilog)

“Johan Pertandingan Perbahasan Ala Parlimen Peringkat Daerah pada tahun 2003 ini dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari,” umum pengerusi Majlis.
Satu tepukan gemuruh diberikan. Helynna melompat kegembiraan. Berpelukan seketika dengan Liza. Kamil disalam, tanda bangga.
Kamil tampil ke hadapan, naik ke pentas untuk mendahului teman-teman seperjuangannya yang lain.
“Sekarang diumumkan peserta pembahas terbaik disandang oleh... saudari Fariza Helynna dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari. Dipersilakan ke pentas saudari Fariza Helynna”, umum Pengerusi Majlis itu lagi.
Tergamam Helynna seketika. Benar, tidak pernah dia menduga akan bergelar peserta terbaik. Bagai mimpi.
Sementara itu, dalam ribuan penonton yang hadir seorang lelaki tidak putus-putus bertepuk tangan. Hatinya cukup berbangga.
Kaulah segalanya, desis Fariz di hati. Dia begitu gembira dengan pencapaian yang diterima oleh adiknya itu.
Sejak peristiwa yang hampir meragut masa depan Helynna, Fariz berubah sikap. Selama ini dia tidak pasti perasaannya terhadap Helynna. Tidak disangka kasihnya lebih dalam tertanam di dasar hati untuk Helynna.
Begitu juga kasih adiknya. Ancaman kepada Helynna telah tiada. Kamal, Rusdi, dan Mansur diberi peluang kedua atas sifat kemanusiaan Helynna. Sungguh Helynna sanggup korbankan segalanya untuk insan yang disayangi.
Mujurlah Kamil dan Haikal menyedari kehilangan mereka setelah tidak pulang ke rumah selepas tamat latihan untuk pertandingan. Kalau tidak, tentu Helynna telah menjadi mangsa kerakusan nafsu lelaki Kamal. Fariz bersyukur.
Lamunan Fariz mati apabila terasa dirinya dipeluk seseorang seraya menoleh. Wajah jelita adiknya kelihatan.
“Jauh abang termenung. Tak nak ucap tahniah pada Lynn ke?”
“Tak payah nanti ada budak tu bangga diri,” balas Fariz.
“Huh, tak nak tak apa! Lynn tak kebulurlah,” tegas helynna tidak mahu mengalah. Dia mencebir.
“Ish, merajuklah pulak!” usik Fariz.
Ditarik tangan Helynna agar duduk di sisinya. Pipi gebu gadis itu diusap.
“Tahu tak abang sangat berbangga kerana mempunyai adik yang sungguh cantik, pandai, dan yang paling penting... adik abang ni memang nakal!” Pipi Helynna ditarik.
“Aduh, sakit tau! Lynn tak claimmed insuran ,” adu Helynna, manja.
“Ehmmm... amboi, lebih-lebih pulak! Ingatlah sikit korang tu haram kalau nak kahwin,” usik Haikal yang datang sebagai penyokong. Dia mencekak pinggang.
“Diamlah!!” jerit Fariz dan Helynna, serentak. Haikal ketawa.
“La... sehati sejiwa dah pulak,” balas Haikal, ketawa lagi.
“Sibuk hal orang,”gerutu Helynna.
“Jom balik pasukan hebat. Kita akan raikan di sekolah esok,” ujar Puan Julia selaku guru pengiring.
Mereka semua mengangguk seraya masing-masing beredar.
“Cik Fariza Helynna, sebentar!” Kedengaran satu suara menegurnya.
“Hai, boleh berkenalan? Saya Tahir dari SM Sains,” perkenal Tahir.
“Err...nak berkenalan? Tunjuklah kad pengenalan. Okeylah, bye... assalamualaikum,” balas Helynna lantas berlalu. Fariz tersengih.
“Lepas ni, Encik wahid pengsan lagi,” gerutu Fariz. Helynna tersengih.
“Biarkan. Mana-mana surat tak rasmi Lynn takkan terima,” ujar Helynna.
“Bagus adikku,” puji Fariz seraya mencapai tangan Helynna untuk dipimpin.
“Sepatutnya, 15 tahun dahulu abang buat macam ni. Tapi sekarang ni pun tak apa, janji ada batasnya,” usul Fariz, menguatkan genggaman tangannya ke atas tangan Helynna.
“Pimpinlah Lynn ke jalan bahagia,” pinta Helynna. Fariz mengangguk. Helynna dapat merasakan kebahagiaan anugerah ALLAH SWT sudah berada di tangannya. Syukurnya tidak terhingga.

KAU KUSAYANG-(Ep.13)

“Sikit-sikitlah. Mulut abang ni belum baik lagi,” rungut Fariz. Helynna mencapai tisu lalu mengelap bibir Fariz.
“Nak lagi?” Fariz menggeleng. Helynna meletak mangkuk berisi bubur di atas meja di sisi katil.
“Lynn, kawannya datang ni,” beritahu Datin Farah dari tingkat bawah. Helynna bangun lalu keluar dari bilik Fariz.
Kelihatan Maizatul, Aimira, dan Haikal datang.
“Kita orang nak lawat abang kau,” beritahu Aimira. Helynna mempelawa rakannya naik ke bilik.
“Inilah abang Iz aku, Fariz Izuddin. Jemputlah masuk,” ujar Helynna.
“Aku selalu datang ke sini tapi tak pernah nampak abang kau,” usul Aimira.
“Hmm... aku pun sama. Kalau aku ke mari, aku tak pernah nampak Lynn,” balas Haikal. Helynna tersenyum.
“Kami punya rahsia sendiri yang korang tak tahu dan mungkin korang akan salahkan aku,” ujar Fariz.
“Lynn adik kandung aku dan kami terpisah sejak dari kecil lagi akibat perbalahan orang tua kami. Apabila orang tua kami bersatu kembali, Helynna lenyap kerana dia dibawa pergi oleh keluarga angkatnya ke negeri lain. Sejak itu kami terputus hubungan,” cerita Fariz.
“Kami bertemu balik masa aku tingkatan dua, ibu angkatnya datang kembali menyerahkan Helynna kepada kami akibat kesempitan hidup. Sejak itulah aku tahu yang aku ada seorang adik perempuan.” Fariz menarik nafas.
“Aku tak tahu kenapa kehadiran dia amat tidak disenangi. Bukan membenci tapi aku tak bersedia dan tidak percaya yang aku terpaksa berkongsi kasih dengan orang tua aku.”
“Itulah sebab kau sorok Helynna daripada pandangan umum?” soal Maizatul. Fariz mengangguk.
”Bukan salah abang Fariz sebenarnya. Salah Lynn juga kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan keluarga baru Lynn,” celah Helynna.
“Kenapa kau tak mahu kami tahu kau ada adik?” soal Haikal.
“Sebab selama ini hanya aku seorang anak Datuk Hafiz dan Datin Farah. Aku pentingkan diri selama ini. Tapi tak sangka Lynn begitu baik. Bagi aku dia datang sebagai cahaya kepada aku,” cerita Fariz.
“Maafkan abang, sayang. Abang bersalah kerana tak lindungi Lynn,” ucap Fariz seraya menarik tangan adiknya supaya duduk di sisi.
“Kalau aku cakap kau jangan marahlah, ya!. Sebenarnya korang tak sesuai jadi adik-beradik. Kalau couple lagi best,” usik Haikal.

Saturday, March 28, 2009

KAU KUSAYANG-(Ep.12)

Helynna menumpukan perhatiannya terhadap latihan yang diberikan agar kejayaannya dalam pertandingan perbahasan tahun lepas berulang.
Walaupun terpaksa meluangkan banyak masa pada waktu petang, Helynna berharap agar pengorbanannya tidak sia-sia. Itulah doanya.
“Balik sama nanti,” pesan Fariz.
Helynna mengangguk seraya membiarkan Fariz berlalu menuju ke bilik guru. Sejak akhir-akhir ini, Fariz banyak berubah. Tidak lagi berkata kasar. Hairan!
Adakah segalanya kerana Izuddin? Dia tahukah yang aku tidak suka perangai Izuddin yang suka cari salah aku?
Fariz datang menghampiri Helynna yang tegak terpaku di sisi motor Suzuki berwarna merah.
“Dah jom balik,” ajak Fariz.
Helynna memberi ruang kepada Fariz untuk menaiki motornya. Helynna melihat jam di tangan. Hampir pukul 5.30 petang.
“Kenapa tengok jam? Takut Izuddin marah?” duga Fariz. Helynna senyap.
“Dia takkan marah kau hari ni. Tentu dia tahu sebab kau pulang lewat,” pujuk Fariz. Helynna terus senyap.
Belakang motor dipanjat. Ada perkara lain yang dirunsingkan. Dia berharap tiada perkara buruk melanda mereka.
Sepanjang jalan tiada apa yang terpancul di bibir untuk berbual. Fariz pula tekun menunggang motor.
Tiba-tiba kelihatan seorang lelaki menahan motor mereka. Lorong yang sunyi itu tidak memberi bantuan kepada mereka jika sebarang bahaya melanda.
Fariz memberhentikan motor. Cermin helmet dibuka.
“Kau nak apa Kamal?” duga Fariz.
“Aku nak awek aku yang kau rampas tu,” balas Kamal, kasar.
“Siapa awek kau? Dan aku tak rampas awek sesiapa,” tegas Fariz.
“Ooo... loyar buruk, ye! Senang-senang kau kebas Helynna dari aku, banyak cakap pulak.”
Menoleh Fariz memandang Helynna di belakangnya. Ada reaksi terkejut di wajah cantik itu.
“Kalau kau nak, kau tanyalah dia. Kalau dia turun, maknanya dia awek kau. Kalau dia tak nak, aku rasa kau tahu jawapannya,” usul Fariz.
“Turun Lynn kalau ini pakwe kau,” arah Fariz.
Laju Helynna menggeleng. Semakin kuat dia memeluk pinggang Fariz.
“Okeylah, kawan. Nampaknya ini rezeki aku. Chaw dulu...”
Gear motor dipasang lalu Fariz menekan minyak. Kamal tidak mahu ketinggalan. Dia sudah sedia memasang perangkap. Rusdi dan Mansur sedang menanti di hadapan, berdekatan dengan taman permainan yang sunyi.
Fariz menekan brek secara mengejut. Helynna hampir terjerumus ke hadapan.
“Kenapa, bang?” soal Helynna cemas. Fariz memandang dua orang lelaki yang berdiri di belakang motor masing-masing. Ingin dia beredar tetapi Kamal telah menghalang jalan belakang.
“Nak lari ke mana? Selagi kau tak serahkan Helynna, kau takkan selamat,” ugut Kamal.
“Langkah mayat aku dulu kalau kau berani apa-apakan Helynna,” jerit Fariz.
“Kalau aku pegang tangan dia, apa kau nak buat?” duga Kamal lalu menyentuh bahu Helynna. Cepat-cepat Helynna menguis. Fariz mula berang.
“Kau jangan cabar aku, Kamal. Baik kau pergi sebelum aku...”
“Aku apa? Kalau kau serahkan Helynna pada aku, kira selesai masalah kita,” ujar Kamal, cuba membelai rambut gadis itu. Sekali lagi Helynna menepis.
“Kau sengaja cari pasal, Kamal.”
“Bukan aku tapi kau. Aku dah beri amaran secara bertulis kau sengaja buat tak faham. Sekarang kau perlu terima balasan atas kedegilan kau,” tegas Kamal.
“Jangan cari pasal, bang. Lynn takut ni,” pujuk Helynna.
“Arghh... kau diam! Biar aku ajar lelaki tak guna ni,” balas Fariz seraya turun dari motor.
Fariz mula bergelut. Kamal dibantu oleh Rusdi dan Mansur dapat menewaskan Fariz dengan cepat. Helynna yang menyaksikan pergaduhan itu semakin gelisah.
“Lari Lynn, lari... Tinggalkan aku,” arah Fariz, meraung dalam kesakitan.
“Tapi Lynn tak boleh biarkan abang. Lynn takut!” balas Helynna, hampir menangis.
“Jangan pedulikan aku. Pergi panggil ayah. Bawa motor, cepat!! Arghh...”
Helynna tak sampai hati membiarkan Fariz sendiri merana. Baru kini dia tahu bahawa dalamnya kasih Fariz kepada dirinya. Airmatanya gugur.
“Cepat Lynn, apa yang kau tunggu lagi? Cepat selamatkan diri kau,” jerit Fariz lagi. Tubuh Fariz seakan tidak bermaya lagi. Helynna tidak mahu membiarkan Fariz sendirian dibelasah teruk oleh Kamal dan kawannya.
Berlari dia mendapatkan Fariz yang longlai. Dia cuba membantu lelaki itu.
“Sudah Kamal, sudah! Lepaskan Fariz. Kau mahu aku, kan? Baik, sekarang aku akan ikut kau dengan syarat lepaskan Fariz,” rayu Helynna.
Tumbukan ke tubuh Fariz mati. Kamal tersenyum. Bingkas dia merapati gadis itu. Rusdi dan Mansur masih memegang Fariz.
“Macam inilah, sayang. Aku akan buat kau jadi milik aku. Lihat, kau pasti akan tunduk pada aku.“
“Lihat, baik kau beralah Fariz Izuddin!” ujar Kamal lalu merangkul tubuh Helynna. Gadis itu dicumbu kasar.
“Hentikan, Kamal. Lynn jangan menyerah pada lelaki tak guna tu. Lynn... jangan!!!” jerit Fariz.
Jeritan Fariz semakin kuat apabila melihat Kamal mula mengoyakkan baju kurung yang tersarung di tubuh Helynna. Fariz hanya mampu melihat adiknya bakal dinodai Kamal.
Tiba-tiba sebuah kereta peronda polis datang. Dua orang pegawai polis keluar bersama Haikal dan Datuk Hafiz.
Rusdi melepaskan pegangannya terhadap Fariz. Begitu juga Mansur. Kelam-kabut mereka lari namun dapat ditangkap oleh Haikal dan seorang pegawai polis.
Kamal segera meleraikan pelukannya di tubuh hangat Helynna, yang baru ingin dinikmatinya. Belum sempat dia bertindak, tangannya telah digari.
Helynna terduduk di situ. Dia masih terkejut. Ditoleh ke arah Fariz yang terbaring di lantai tanah. Datuk Hafiz mendekati anak lelakinya lalu dipimpin untuk bangun. Segera Helynna bangun dan berlari mendapatkan Fariz.
“Abang...!!!” jerit Helynna.
Tanpa segan-silu, tubuh Fariz dirangkul. Airmata kasihnya mengalir.
“Dahlah, jangan menangis lagi. Abang dah selamat. Sayang okey?” soal Fariz, lemah. Helynna mengangguk.

KAU KUSAYANG-(Ep.11)

Helynna menuju ke meja makan setelah selesai menunaikan solat Zohor. Kelihatan abangnya sedang menghadap hidangan tengah hari. Dia duduk berhadapan dengan lelaki itu.
“Makan cepat. Lepas tu boleh buat kerja sekolah dan rehat,” gesa Izuddin.
Pinggan di atas meja dicapai lalu dia menyenduk nasi. Perlahan-lahan Helynna menyuap makanan ke mulutnya.
“Aku dengar kau dah ada teman lelaki, ye?” cetus Izuddin.
Helynna mendongak. Wajah tampan Izuddin ditatapnya. Tidak pernah lelaki itu berkau aku atau bertutur kasar dengannya ketika di rumah. Tentu gosip itu amat tidak disenangi.
“Dengar tak?” bentak Izuddin.
“Tak... err, Lynn tak ada kekasih. Betul!!” balas Helynna, takut-takut.
“Habis tu, yang kau tergagap-gagap tu kenapa? Kau nak tipu aku?”
Laju Helynna menggeleng. Hilang seleranya ketika itu. Izuddin kelihatan meradang dengan jawapannya.
“Bagaimana dengan peminat kau tu?”
“Hanya kawan dan kenalan, tak lebih dari itu,” jawab Helynna, jujur.
How about Fariz? Just a friend?”
Gumam Helynna apabila mendengar kata duga yang terbit dari bibir Izuddin. Rasa tidak puas hati datang menjengah.
“Kenapa abang tanya macam tu? Lynn belum gila nak jatuh cinta dengan a... ah, lelaki tu! Lynn tak nak bercinta buat masa ni. Kenapa abang tak percaya pada Lynn? Adakah abang marah kalau Lynn tumpang motor Fariz? Takkan Lynn nak tumpang motor Kamal!”
“Tak salah kalau Lynn minta tolong dia, kan? Itu bukan bermakna Lynn ada hati pada dia. Cubalah abang faham. Kenapa abang buat Lynn macam ni? Lynn dah bosan, fed up dengan kerenah abang, sikap abang yang langsung tidak mahu beralah. Kalau Lynn jatuh cinta pada Fariz pun bukan satu kesalahan kerana dia baik, tidak seperti abang yang asyik nak mencari kesalahan Lynn. Apa salah Lynn pada abang? Benci sangatkah abang pada Lynn?!”
Helynna bangun lalu menuju ke dapur untuk mencuci tangan. Seleranya mati di situ. Tidak diduga airmatanya tumpah. Aku sedar siapa aku dahulu sebelum bertandang dalam hidupmu bergelar seorang adik, rintih Helynna, sedih.
Izuddin tergamam mendengar luahan hati Helynna. Adakah selama ini aku mementingkan diri sehingga membuatkan adikku sendiri merana? Adakah aku membenci dirnya? Tak, aku amat menyayangi dirinya lebih dari segalanya, cetus Izuddin di hati.

KAU KUSAYANG-(Ep.10)

Pukul 1.30 petang. Helynna melangkah menyusuri garaj motor pelajar. Terjengket-jengket dia mencari seseorang.
“Hai, Lynn! Cari siapa? Cari abang Max, ye?!” tegur seseorang.
Helynna menoleh. Terpandang wajah Kamal yang sedang duduk di atas motornya sambil tersengih. Kacang hantu betul, kutuk Helynna. Tiada sebarang jawapan yang diberikan kepada lelaki itu.
“Mak oii, sombongnya! Tak apa, aku suka. Boleh buat awek,” usik Kamal lagi.
“Tolong sikit. Siapa nak dekat kau tu? Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong,” kutuk Helynna, berang.
“Makin manis abang tengok kalau Lynn marah-marah macam ni. Terpikat abang, tau!” Helynna mencebik.
“Lynn nak balik, ye? Kebetulan abang pun sama. Apa kata abang hantar Lynn balik? Sambil tu boleh kita berbual mesra,” pelawa Kamal.
“Tak apalah, Lynn nak tumpang Fariz,” beritahu Helynna.
Fariz?! Ish, mamat ni potong line betul! bentak Kamal. Dia mula berang.
“Kenapa nak tumpang Fariz? Ayah Lynn tak datang ambil hari ini?” Kamal cuba menutup rasa marahnya.
“Tak, ayah busy. Dia suruh Lynn tumpang Fariz hari ini.”
“Kalau abang tolong Lynn, macam mana?” duga Kamal, memujuk.
Helynna menggeleng. Kelihatan Fariz datang ke garaj bersama Kamil. Helynna berlalu pergi meninggalkan Kamal.
“Riz, kita balik sama.” Helynna mendekatinya. Fariz menoleh.
“Datuk Hafiz mana?” soal Fariz.
“Meeting dengan klien katanya. Tolong hantar Lynn sampai rumah. Kita kan sehala?” pujuk Helynna, lembut.
“Ini yang aku lemah ni,” keluh Fariz.
“Apasal pulak?” duga Helynna.
“Aku pantang dengar perempuan pujuk rayu macam ni. Cair aku dibuatnya. Err... takkan hantar pulang aje kut? Tak ada upah ke?” usik Fariz.
“Upah apa?” duga Helynna lagi.
“Aik, buat-buat tak faham pulaklah! Ala... yang gitu-gitu tu,” jawab Fariz, tersengih sambil meneliti tubuh Helynna yang ditutupi uniform sekolah.
“Jangan nak mengada-ngada. Riz nak tolong ke tak? Nanti Lynn beritahu ayah Fariz karang baru tahu,” bentak Helynna setelah memahami maksud Fariz.
“Yalah, aku tolong ni. Kau ni tak boleh bawa bergurau langsung.”
“Memanglah, kalau dah dasar lelaki. Mana nak lepas peluang kalau perempuan dah menyerah.”
“Tahu pun kau. Lain kali tu berwaspada. Jangan pakai tarik aje mana-mana lelaki untuk buat pakwe. Kalau dah terlanjur baru nak menyesal,” gerutu Fariz.
Helynna senyap. Kata-kata Fariz tadi seakan ada maksud tersirat.
“Kalau abang kau tahu aku hantar kau balik, dia tak marah ke?”
“Nasiblah, biar dia tumbuk muka kau tu sebab usung adik dia ke sana-sini.”
Fariz tersengih. Badan motor Suzukinya telah dipanjat. Dia membetulkan helmet di kepala. Giliran Helynna pula bernaung di belakang Fariz.
“Pegang kuat-kuat. Kalau dah jatuh nanti, salah aku jugak sebab tak jaga adik Izuddin baik-baik,” rungut Fariz.
Helynna ketawa kecil. Lucu mendengar kata-kata Fariz tadi.
“Padan muka! Jangan berani nak usik adik Izuddin. Karang melayang penumbuk dekat dahi,” balas Helynna.
“Aku tahulah, anak manja!”
Fariz mula menekan gear. Helynna merangkul erat pinggang Fariz sebelum beredar pergi.
Sementara itu, Kamal memandang Fariz dan Helynna berlalu dengan perasaan marah yang membara.
“Takkan tak tercabar langsung, beb?” duga Rusdi. Kamal menoleh.
“Kau tahu, aku tengah bengang ni! Helynna sengaja sakitkan hati aku. Fariz pun sama,” jerkah Kamal.
“Dahlah, jom balik. Kita perlu rancang baik-baik plan kita supaya Helynna takkan pandang lelaki lain selain kau. Kalau gaya playboy kau tak berjaya, kau boleh guna cara kasar,” cadang Rusdi.
Kamal bersetuju. Helmet disarung di kepala. Enjin motosikalnya dihidupkan sebelum beredar meninggalkan garaj tempat letak motosikal pelajar.

KAU KUSAYANG-(Ep.9)

“Kau tengok tadi, bukan main caring lagi Fariz dengan Helynna. Lain macam aje aku tengok diaorang. Entah-entah si Fariz tu tak layan surat kau tu, Max?”
“Diamlah, aku rasa dia dah baca surat tu cuma dia terlampau berani nak lawan aku,” balas Kamal.
“Aku dengar cerita lepas ni dia orang akan digandingkan dalam pertandingan perbahasan pulak,” beritahu Rusdi.
“Tengoklah nanti, kalau dia tetap begitu, aku akan ajar dia. Biar dia tak berani jumpa Helynna apatah lagi tengok muka gadis tu,” tegas Kamal.
Rusdi dan Mansur ketawa. Mereka melangkah menuju ke kelas 5 Sains 1. Kelihatan Fariz masuk bersama Haikal. Lambaian tangan dihulurkan tanda menghormati Ketua Pelajar tersebut. Fariz menyambut tanpa sebarang syak.
“Senang nak tibai,” ujar Kamal sambil tersengih. Temannya mengangguk.

Wednesday, March 25, 2009

KAU KUSAYANG-(Ep.8)

Segala persiapan telah diatur. Dengan izin pengetua, majlis yang agak gilang-gemilang itu berlangsung. Semua pelajar dikehendaki menghadiri upacara yang cukup bermakna itu.
Dewan serbaguna itu kini dipenuhi dengan para pelajar dan juga guru. Semua mereka ingin menyaksikan majlis yang julung kali diadakan.
Haikal mengambil tempat sebagai pengerusi majlis bersama Syafira.
“Perhatian semua. Majlis akan dimulakan sekarang. Diharap agar hadirin memberikan kerjasama. Terima kasih.” Haikal memulakan ucapan.
“Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Yang Berbahagia Tuan Pengetua...” Kedengaran suara Syafira membuka majlis perasmian.
Helynna yang menanti di belakang berdebar. Semoga tiada halangan yang menghalang mereka untuk berjaya kali ini.
“Takut?” duga Fariz di sebelah.
Gelengan jawapan Helynna. Benar, dia tidak takut tapi gementar. Tiba-tiba dia teringat akan pertanyaan mamanya kelmarin. Dia memandang Fariz.
“Fariz... err, aku ada perkara nak...”
Bicaranya terputus apabila nama lelaki itu dipanggil untuk memberikan ucapan.
“Kita cakap lepas ni,” usul Fariz lalu melangkah pergi menaiki pentas.
Helynna mengangguk. Dilihat lelaki itu pergi. Nantilah, banyak lagi masa, cetus Helynna.
Beberapa ketika, kelihatan Kaunselor Zahar mengiringi Tuan Haji Jalaluddin untuk merasmikan majlis mereka. Kemudian, namanya disebut bagi melaksanakan upacara itu.
Sebuah laptop di atas pentas dituju. Pengetua menekan beberapa butang pada keyboard laptop atas bantuan Helynna. Beberapa saat kemudian, terpampang satu laman khas yang begitu unik di skrin putih yang agak besar. Tepukan gemuruh diberi oleh tetamu yang datang.
“Dengan ini saya mengalu-alukan kehadiran laman web pertama Kelab Remaja iaitu next-generation.com.my.”
Sekali lagi tepukan gemuruh ke udara. Helynna tersenyum. Segala usahanya tidak sia-sia.
“Kau buat sendiri ke atau abang kau yang tolong?” sindir Fariz, berbisik. Helynna mencebik.
“Huh, abang aku dengan kau tu sama! Pemalas!!!” kutuk Helynna.
Fariz tersenyum. Tak apa minah, cakaplah apa yang kau suka. Hari ini hari kau, esok lusa dan selamanya hari aku. Kau tunggu, desis Fariz.
Kemesraan mereka mengundang sembilu yang menikam di sudut hati pada insan yang cemburu. Rasa tidak puas hati sentiasa bertapak.

KAU KUSAYANG-(Ep.7)

Malam mungkin menjanjikan ketenangan kepada pungguk mahupun bulan. Mungkin juga kepada pasangan kekasih untuk memadu asmara, menyemai cinta yang tidak lagi tertanggung.
Bagi remaja masa kini, malam merupakan satu rahmat yang tidak terhingga di mana waktu sebeginilah adalah masa yang sesuai untuk melepaskan tension. Tiada kedengaran suara laungan dan pekikan sang pendidik dan ‘warden’ di rumah apabila bertenggek di kaki-kaki lima dan kompleks membeli- belah. Disko dan kelab-kelab malam bukanlah sesuatu yang asing malah tempat sedemikian dianggap sebagai rumah kedua mereka.
Berbeza pula di desa. Waktu malam diisi dengan kegiatan di surau dan di masjid-masjid. Suasana yang sepi tatkala tiba detik senja menjadikan aktiviti sosial di situ terhenti. Sungguh damai di sana.
Helynna beruntung kerana mempunyai keluarga yang menitikberatkan soal pendidikan dunia dan bekalan sewaktu akhirat kelak menghalang dirinya daripada terjebak dengan gejala yang tidak memberi sebarang kebaikan buat dirinya.
Tekun dia menghadap komputer menyelesaikan tugas yang diberikan oleh Fariz kepadanya.
“Asyik-asyik aku yang kena buat. Bukannya rumah dia tak ada komputer. Pemalas!!” Helynna merungut sendirian.
“Kenapa anak mama membebel seorang-seorang ni?”
Menoleh Helynna apabila mendengar teguran daripada Datin Farah. Wanita itu tersenyum ke arahnya.
“Banyak sangat kerja ke sampai dah lewat malam ni tak tidur lagi?”
“Tak adalah, sikit aje lagi.”
“Kenapa tak minta abang tolong? Kan dia pun tahu juga pasal komputer, kan?” duga Datin Farah.
“Abang kata dia nak study. Tak apalah mama, kejap lagi siaplah.”
“Nanti mama panggil abang,” usul Datin Farah, ingin membantu Helynna.
“Eh, tak payah mama! Ini kerja sekolah Lynn. Manalah abang tahu buat. Lagipun, kerja Lynn ni dah nak siap dah. Tak elok ganggu abang tengah studi.”
Datin Farah tersenyum. Baik budak ni, cetunya dalam hati.
“Lynn gaduh dengan abang, ye?”
Helynna terdiam. Tidak berani dia menyahut kata mamanya sebentar tadi. Benar dia dan abangnya tak boleh bercanggah pendapat. Berlainan dengan sikap Fariz. Walaupun mereka selalu bertelagah, tapi Fariz lebih banyak beralah. Dan dia sanggup menurut kata lelaki itu.
Entah kenapa dia terkenang akan lelaki itu sekarang. Ternyata dia lebih menyenangi Fariz daripada abangnya.
“Mama tanya ni sayang, jauh pula Lynn melayang. Teringatkan siapa? Fariz, ye?!” Helynna menoleh. Apa yang mama tahu pasal Fariz?
“Abang Iz kata Lynn dah ada boyfriend, betul ke?”
Teman lelaki?! Berkerut dahi Helynna mendengarnya.
“Mana abang dengar cerita ni? Tak adalah. Lynn tak pernah fikir pasal benda tu lagi,” beritahu Helynna.
“Hmm... betul ke?” duga Datin Farah.
Helynna mengangguk, serius. Giliran Datin Farah pula mengerut dahi.
“Mungkin abang dengar cerita palsu agaknya,” cetus Datin Farah.
Pelik, mana pula datangnya cerita ni? Tak pernah dengar pula gosip-gosip liar di sekolah. Entah-entah mereka ingat aku ada affair Fariz, desis Helynna.

KAU KUSAYANG-(Ep.6)

“Kau dah okey dengan Lynn?” duga Haikal, takut-takut.
Fariz terus melangkah. Sesekali dia menegur pelajar-pelajar yang tidak mengenakan tali leher dengan sempurna. Haikal senyap apabila Fariz tidak menjawab pertanyaannya.
“Okey, tak ada masalah. Kenapa?”
“Err... tak adalah. Cuma... cuma... aku teringat peristiwa minggu lepas. Itu sahaja,” balas Haikal.
Kini mereka melewati koridor kelas. Fariz melangkah masuk.
“Jangan ambil peduli perkara tu. Parents aku kawan baik dengan parents Lynn. Jadi, tak salah kalau dia panggil aku dengan panggilan itu. Lagipun, kami selalu berjumpa walaupun tinggal berjauhan. Panggilan sebegitukan nampak romantik.”
Haikal menjungkit kening. Hairan. Mereka menarik kerusi lalu duduk. Terpandang sehelai kertas dilipat kemas di celah-celah buku teks di atas meja. Fariz mencapai kertas itu seraya dibaca. Isi kandungan helaian itu ditatapnya.

Kalau mahu selamat, jangan kacau awek gua. Lu jangan berani rapat dengan Lynn. Kalau gua tahu lu mau pikat dia, lu memang sengaja cari nahas!. Ingat tu, hidup hanya sekali. Kalau dah rasa lama sangat hidup tu, cubalah try. Jangan ingat lu KP gua takut. Lu lah yang senang gua nak tibai. Chaw... BALAK LYNN
Fariz mengerut dahi. Balak Lynn?! Helynna ada kekasih?! Eh, macam mimpi pulak! cetus Fariz.
“Apa tu, Riz?” soal Haikal.
Senyap. Fariz tidak menyaut panggilan sahabatnya itu. Haikal yang tidak sabar menarik kertas di tangan Fariz. Gumam Fariz melihat Haikal membaca laju tulisan yang tercoret di situ.
“Balak Lynn? Lynn ada boyfriend ke, Riz? Tak pernah dengar cerita pun,” gerutu Haikal. Fariz masih membatu.
“Ini surat ugutan, Riz. Aku rasa baik kita laporkan pada cikgu. Bahaya ni,” cadang Haikal.
“Nanti!! Biarkan dulu. Aku rasa tak ada apa-apa yang akan berlaku. Mungkin dia tak senang hati kalau aku rapat dengan awek dia.”
“Tak nak beritahu Lynn?”
Fariz menggeleng. Siapa kekasih Helynna? Hai, orang lawa! Tentu ramai peminat, keluh Fariz. Orang luar pun ada yang sangkut apatah lagi pelajar sekolah ini. Fariz termangu seketika.

KAU KUSAYANG-(Ep.5)

Aimira tak tahu apa yang menyebabkan Helynna bertukar watak. Menjadi seorang yang pendiam. Maizatul cuba membantu Aimira mengembalikan Helynna ke alam yang nyata.
Semua tentu ada kaitan dengan perjumpaan ahli majlis tertinggi tempoh hari. Helynna memanggil Fariz abang. Abang?! Apa hubungan mereka?
“Kalau aku tahu, settle masalah. Selama aku kenal Fariz, dia kata dia tak ada adik. Betul, Fariz anak tunggal. Tapi, takkanlah Helynna tu...” Kata-kata Haikal putus, memikirkan sesuatu.
“Kau ingat mereka tu bertunang? Hei, mereka tu budak lagi tau!” tegas Maizatul.
“Mungkin betul apa yang Haikal cakap tu. Orang kaya ni lain sikit. Nak eratkan persahabatan, anak jadi mangsa. Itulah yang aku baca dalam novel,” ujar Aimira pula.
“Korang tak cuba tanya pada Lynn? Kan korang rapat,” duga Haikal.
“Ish, tak berani aku! Macam kau dengan Fariz. Ada kau tanya pada dia? Tak beranikan?” balas Aimira.
Masing-masing membisu. Hairan dengan sikap sahabat baik mereka. Dari jauh kelihatan Fariz datang bergandingan dengan Helynna. Mereka bertiga berpandangan seketika.
“Member, pengetua tabik dengan WARTA BESTARI kita. InsyaALLAH, ada imbalan untuk korang nanti,” beritahu Fariz. Mereka bertiga bertepuk tangan.
“Itu sebab kau nak kami di sini?” soal Haikal. Fariz mengangguk.
“Web site pula macam mana?” soal Maizatul, ingin tahu.
“Sekolah akan support wang pendaftaran laman. Selebihnya, kita kena guna wang persatuan. Lagipun, kita dah mulakan. Macam mana Lynn?”
“Benda tu dah separuh siap. Ianya seperti yang korang cakapkan tu. Bagi masa seminggu lagi, segalanya selesai,” beritahu Helynna.
Helynna duduk di sisi temannya. Haikal bangun dan menuruti Fariz menuju ke kelas. Waktu rehat sudah hampir tamat. Maizatul mula mencongak-congak untuk meleraikan kekusutannya.
“Lynn, aku... aku... err, boleh aku tanya sesuatu?” soal Maizatul.
“Pasal aku dengan Fariz, kan?”
Segera Maizatul mengangguk. Aimira memasang telinga, untuk mengetahui cerita sebenar.
“Tak ada apa-apa. Korang jangan salah anggap pula. Aku rasa korang pun tahu sebab-musabab aku panggil dia begitu. Tak salah kalau aku nak eratkan hubungan kejiranan kami dengan memanggilnya begitu. Sorry lah, ini kes personal. Tak boleh campur dengan hal pelajaran,” jelas Helynna.
“Habis tu, yang kau macam tak tentu hal ni, kenapa?!” duga Aimira.
“Woi, penat tau buat web site ni! Sekarang ni, aku tak cukup masa nak tidur. Abang aku tu pulak asyik nak cari gaduh aje. Sakit hati aku dibuatnya.”
“Hmm... kalau macam tu, okeylah. Aku ingat kau ada apa-apa affair dengan ketua pengawas kita tu. Risau aku, tau!” ujar Maizatul, lega.
“Tolong sikit. Tak ingin aku nak buat laki orang macam Fariz tu,” tegas Helynna.

KAU KUSAYANG-(Ep.4)

Banglo dua tingkat seakan sepi tanpa penghuni. Seorang gadis cantik termenung di jendela menyaksikan keindahan susunan bunga yang beraneka warna dan bentuk. Angin sore lemah menyapa wajah ayu gadis itu.
“Lynn buat apa tu?” tegur seseorang.
Helynna menoleh apabila mendengar suara lelaki menyapanya. Segera dia bangun dan ingin berlalu. Cepat-cepat tangannya disambar.
“Sayang marahkan abang?” duga lelaki itu. Helynna masih membatu.
“Abang janji abang takkan marah adik lagi tapi berilah abang waktu untuk semua ini,” ujar lelaki itu.
“Sampai bila? Susah sangat ke memiliki seorang adik? Lynn tak minta lain selain kasih sayang seorang abang. Dulu, memang Lynn rasa sukar untuk terima tapi sikap abang yang sebegini membuatkan Lynn penat. Penat dengan kerenah abang. Jangan sampai Lynn membenci abang suatu hari nanti sudahlah.”
Terlepas apa yang terbuku di hati. Tangannya direntap. Seketika dia menjeling tajam.
“Don’t bother me! I don’t want you to settle my problem,” tegas Helynna sebelum pergi meninggalkan abangnya dengan perasaan bersalah. Lelaki itu kelihatan hampa. Dia kecewa.

KAU KUSAYANG-(Ep.3)

Beg yang disandang diletakkan di atas meja. Maizatul dan Aimira turut melakukan sedemikian. Keadaan bilik kelab mereka agak bersih. Beberapa minit kemudian, Fariz muncul bersama Haikal dan Kamil. Helynna yang sedang menghadap komputer menoleh.
“Syafira dan Azida mana?” soal Fariz.
“Diaorang kena balik atas sebab yang tidak diketahui. Err... diaorang akan setuju atas apa jua rancangan dan persetujuan kita,” jelas Maizatul.
Fariz mengangguk lalu duduk di sisi Helynna. Sepucuk surat dihulurkan kepada gadis itu. Helynna menyambut seraya isi kandungan surat itu dibaca.
“Pertandingan perbahasan??!!”
“Hmm....aku, kau, Kamil, dan Liza.”
“Lynn simpanan?” duga Helynna.
“Tak, kau pembahas kedua.”
“Mana boleh. Lynn seorang aje pelajar tingkatan empat. Tak adil,” bentak Helynna memulangkan semula surat itu.
“Ini arahan ayahanda kau. Sepatutnya aku tak terlibat sebab tahun ni aku SPM. Tapi apa nak buat,” keluh Fariz.
“Amboi, saling kasih-mengasihi nampak! Kita datang sini bukan nak jual minyak...” sindir Haikal.
Maizatul dan Aimira ketawa. Begitu juga dengan Kamil yang dari tadi asyik membelek buku sejarah.
“Diamlah...!!” jerit Fariz dan Helynna, serentak. Semakin besar ketawa mereka.
“Tengok tu, sehati sejiwa dah pulak,” usik Haikal lagi.
Fariz menarik muka. Helynna terus menatap komputer kembali.
“Sudah, kita mulakan mesyuarat kita hari ini,” arah Fariz.
Semua ahli jawatankuasa duduk. Helynna sudah bersedia untuk mencatat laporan perjumpaan kali ini.
“Assalamualaikum semua. Thanks kerana sudi hadir walaupun ada yang tak hadir. Sebenarnya saya hendak memberitahu bahawa pihak sekolah telah meluluskan permohonan kita untuk menerbitkan majalah fun club yang akan mula diterbitkan mulai bulan ini. Isi kandungannya berkisar tentang pembelajaran. Saya cadang nak lantik unit editor hari ini tapi memandangkan sedikit aje yang hadir, kita bincang esok ajelah.”
“Oh, ya! Saya ingin menyampaikan salam pengetua kepada kamu semua kerana berjaya mengurangkan masalah disiplin di sekolah. Beliau mengarahkan kita membina satu lapangan khas untuk tatapan pelajar sekolah ini dan pelajar luar. Biar fun club kita terkenal dan membanggakan sekolah,” ujar Fariz.
Mereka semua berpandangan. Begitu sekali usaha mereka dihargai oleh Tuan Haji Jalaluddin.
“Ada sebarang pertanyaan?” soal Fariz lagi, memandang rakannya.
“Siapa yang dipertanggungjawabkan untuk membuat web site tu?” soal Kamil.
“Kita akan serahkan kepada pakar komputer kita,” jawab Fariz.
Empat pasang mata beralih memandang Helynna yang tekun menaip laporan. Seolah-olah tidak mendengar kata-kata Fariz sebentar tadi. Dia menoleh apabila tersedar semua rakannya menatap dirinya.
“Apa korang ni? Tak semestinya Lynn seorang yang tahu pasal komputer. Fariz pun boleh buat apa,” tegas Helynna.
“Lagi, ada soalan?” duga Fariz. Mereka senyap.
“Okey, kita mula bincangkan...”
“Nantii...!!! Err... teruskanlah. Lynn lupa apa nak cakap tadi. Ha, lawatan yang kita nak buat tu! Macam mana? Dah diluluskan ke belum?”
“Sabarlah minah... oi! Aku baru nak cakap pasal tu. Kau ni, tak menyempat langsung,” balas Fariz.
“Yalah, aku salah. Dah teruskanlah.”
“Baiklah, pasal rombongan tu pihak sekolah kata okey. PPD pun dah luluskan. Cuma sekarang ni kita perlu cari orang. Kaunselor kata eloklah buat dua bas. Kalau lebih 100 peserta kita kena tambah baslah,” beritahu Fariz.
“Sesi pagi aje ke atau kedua-duanya sekali?” soal Aimira.
“Terhad kepada ahli kelab dan mereka yang bakal menduduki peperiksaan awam negara.”
“Bukankah ahli kita terdiri dari pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima?” duga Helynna, meninggalkan skrin monitor seketika. Fariz merenungnya.
“Memanglah. Siapa cepat dia dapat!”
“Kalau macam tu, daftar nama Lynn dulu” desak Helynna.
“Nama kaulah aku reject dulu,” balas Fariz, mengusik.
“Baik, Lynn tak nak buat benda ni. Abang buat sendiri,” bentak Helynna.
Fariz terkejut apabila Helynna memanggilnya ‘abang’. Aimira dan Maizatul berpandangan. Begitu juga Haikal dan Kamil. Hairan. Begitu lama mereka mengenali Fariz dan Helynna, tapi tak sangka mereka ada pertalian yang rapat. Benarkah begitu?
Helynna yang menyedari keterlanjurannya kembali menatap monitor. Terasa darah menyirap ke wajahnya. Panas. Merona merah kulit mukanya yang putih.
“Ulang sekali lagi apa yang kau cakap.” Fariz mula berang.
Tunduk Helynna memandang keyboard di atas meja. Serta-merta Helynna bangun dan mencapai begnya lalu beredar meninggalkan mesyuarat.
Melihat tindakan Helynna, Fariz segera menyambar begnya lalu berkejar merapati Helynna.

Tuesday, March 24, 2009

KAU KUSAYANG-(Ep.2)

“Cikgu, kawan saya kata ada surat untuk saya,” usul Helynna seraya duduk di hadapan Encik Wahid.
“Awak lambat hari ni, Lynn!!”
Terkedu Helynna mendengarnya. Ish, mana pulak dia tahu ni!? Ayah tak boleh simpan rahsia langsung.
“Maaf, cikgu. Malam tadi saya tidur macam biasa tapi tengah malam saya bangun, solat sunat tahajud. Lepas tu, saya tidur balik. Jam menjerit pun saya tak dengar,” jelas Helynna, jujur.
“Lain kali suruh Datuk Hafiz jerit.”
Helynna tersenyum. Encik Wahid menghulurkan sepucuk surat kepada anak sahabatnya.
“Apa isinya, cikgu?”
“Notis berhenti 2 jam dari sekarang.” Besar mata Helynna mendengarnya.
“Lynn, saya tak halang awak berkawan tapi takkan tiap-tiap minggu asyik surat cinta aje,” tegur Encik Wahid.
“Tapi cikgu, saya tak kenal mereka. Saya pun tak tahu yang mereka tahu alamat sekolah ini. Maaflah kalau saya menyusahkan cikgu. Lain kali, kalau ada surat seperti ini, cikgu buang ajelah.”
“Hai, merajuk ke?!”
“Saya serius ni, cikgu. Saya pun tak suka diperlakukan begini,” ujar Helynna.
“Baiklah kalau awak cakap begitu tapi surat ni ambillah. Oh,ya! Selepas ni panggilkan Fariz. Saya ada hal nak bincang dengannya.”
Helynna mengangguk seraya bangun untuk beredar. Baru dia melangkah, Encik Wahid memanggilnya kembali.
“Lynn, awak tidak mahu sertai Lembaga Pengawas Sekolah? Saya amat mengalukan orang seperti awak,” soal Encik Wahid.
“Tak naklah, cikgu. Saya sendiri terumbang-ambing, macam mana nak jaga sekolah. Saya takut saya bawa bala pula pada sekolah nanti.”
“Awak bagus dalam kepimpinan. Dah lama saya perhatikan awak. Saya yakin awak boleh. Ini bukan sahaja pendapat saya, malah pengetua. Beliau berbangga dengan awak. Fun club yang awak tubuhkan tu banyak membantu sekolah membanteras kegiatan negatif di sekolah.”
“Cikgu, itu bukan sahaja usaha saya tapi Fariz juga kaunselor Zahar. Saya hanya melaksanakan cadangannya. Lagi satu, tanpa kebenaran pihak sekolah kelab itu tidak akan ditubuhkan dan aktivitinya tidak dapat dilaksanakan. Oleh itu, pihak sekolah juga terlibat dalam merealisasikan ‘Sifar Salah Laku Negatif’. Betul tak?”
“Ya, betul. Saya akan kalah kalau berlawan kata dengan awak. Dah, pergi panggil Fariz.”
Helynna tersenyum lalu melangkah keluar dari pejabat PK HEM. Kakinya diayun, ingin menemui Fariz untuk menyampaikan pesanan Encik Wahid. Di hadapan garaj kereta guru, Helynna bertembung dengan Fariz yang menuju ke bilik guru.
“Fariz...!!. Nanti dulu,” panggil Helynna. Fariz menoleh.
“PK HEM nak jumpa kau sekarang,” beritahu Helynna.
“Hmm...terima kasih. Hah, kau mesti dari jumpa dia, kan?!” Helynna mencebik.
“Itulah nakal sangat. Tak pasal kena sound,” kutuk Fariz, mengena.
“Jangan nak tuduh orang tak tentu pasal. Kita ambil suratlah, surat secret admirer lagi...” balas Helynna.
“Eleh, macamlah dia seorang yang ada peminat! Aku pun adalah, tapi tak adalah riak macam kau tu. Apapun, low profile!” Fariz membidas kata Helynna.
“Tak tanya pun... Okeylah, blah dulu. Bye...” ujar Helynna, meninggalkan Fariz yang berang dengan sikapnya.
“Hampeh...!!!” Fariz meneruskan langkahnya yang tergendala. Ada kala dia terhibur dengan telatah Helynna yang sukar diduga. Bermusim. Ada waktunya Helynna suka mengusik dan bergurau. Kadang-kala Helynna lebih suka berdiam diri jika mempunyai masalah.

Monday, March 23, 2009

KAU KUSAYANG-(Ep.1)

Kerusi di sebelah teman baiknya ditarik. Mulutnya masih belum berhenti membebel. Helynna duduk di kerusi. Beg yang disandang di bahu diletak di atas meja.
“Lambat hari ni, Lynn? Malam tadi kau buat apa, hah?” tanya Aimira.
Tidak diendahkan pertanyaan kawannya itu. Aimira terasa berang dengan kelakuan sahabatnya itu.
“Kau ni kenapa, Lynn? Aku cakap dengan kau tapi kau asyik cakap sendiri. Dah buang tabiat??!”
“Jangan sibuklah. Aku tengah geram dengan pakwe aku ni.”
“Hoi, bila masa kau couple, hah?!”
“Hei, aku tengah tension dengan ketua kaulah! Sakit hati aku dibuatnya. Apa, dia ingat dia tu bagus sangat?”
“Dari dulu sampai sekarang korang tak habis-habis berperang. Kalau kau tak layan tak boleh ke? Nanti jadi suami baru tahu,” tegur Aimira.
“Mulut kau tu bebaik sikit,” tegur Helynna, berang.
“Tak apalah kan? Dia pun hensem. Jejaka idaman Malaya. Satu sekolah boleh jatuh cinta pada dia. Lagi satu, poketnya berisi, beb!!”
Helynna menjeling temannya.
“Aku tak pandang semua tu. Yang penting lelaki tu mencintai aku.”
“Hah, cakap pasal cinta, tadi PK HEM cari kau! Dia kata ada surat untuk kau,” celah Maizatul yang tiba-tiba menoleh ke belakang menghadap sahabatnya.
“Apa yang korang cakap pada dia?”.
“Aku cakap kau ke tandas,” ujar Aimira. Helynna menarik nafas lega.
“Don’t worrylah. Tahulah kita orang simpan rahsia,” usul Maizatul.
“Thanks. Apapun, korang telah menyalahguna kuasa korang sebagai pengawas.”
“Tapi, kami tak boleh kelentong Fariz. Dia ada call mak cik pagi tadi tanya pasal kau. Ternyata dia ambil berat tentang kau, Lynn. Hai, bertuah badan!” sindir Aimira.
“Dah mula nak merepeklah tu. Eh, aku nak peri jumpa ayahanda aku! Nak ambil surat. Manalah tahu surat berhenti sekolah, notis 24 jam.”
Helynna bangun dari duduknya. Dia mula melangkah.
“Lynn, aku rasa surat secret admirer lagilah. Entah dari KL agaknya,” sakat Maizatul, tersengih.

KAU KUSAYANG-(Prolog)

Laju langkahnya berlari menuju ke kelas. Gadis itu tahu dia sudah terlewat sampai ke sekolah. Nasib baik pak cik jaga tu tak tutup pintu pagar. Paling beruntung apabila ketua pengawas tiada di situ.
Di hadapan makmal kimia, seorang pelajar lelaki kemas beruniform pengawas keluar. Tidak diduga, dia terlanggar akan pelajar terbabit. Habis berterbangan kertas dalam tangan lelaki tersebut.
“Maaf!” ucap gadis itu.
Terus dia tunduk mengutip kertas yang bertaburan di koridor. Pelajar lelaki yang tergamam turut tunduk sama mengutip kertas.
Gadis itu berdiri. Dia menyusun kertas di tangannya. Begitu juga pelajar lelaki itu.
“Maaf, saudara. Saya nak cepat tadi. Nah, ini kertas... awakkk!!”. Gadis itu menjerit apabila mendongak memandang wajah lelaki yang berdiri di hadapannya.
“Hei, buta ke tak nampak orang tadi!” marah gadis tu. Kata-kata yang lembut tadi kini berdesing di telinga.
“Kau yang jalan tak pandang depan nak salahkan orang pula. Ha, kenapa lambat pagi ini?” jerkah pelajar lelaki itu pula.
“Lantaklah, sibuk hal orang. Dahlah, aku nak cau,” balas gadis itu lagi, mula melangkah.
“Woit, nanti!” panggil pelajar lelaki itu pula seraya menarik tangan gadis di hadapannya.
“Apa ni? Apahal tarik-tarik?” marah gadis tu, kembali merentap tangannya kembali.
“Bak balik kertas aku. Kau nak bawa ke mana, hah?!”
“Nah, ambillah! Tak ingin pun aku nak mengambilnya,” balas gadis itu, kasar. Dia menghulurkan kertas itu kepada lelaki di hadapannya.
“Hmm... apapun terima kasih kerana meluangkan masa untuk mengutip kertas aku ni, ye!” sindir lelaki itu sambil tersenyum.
“Huh, tak ingin aku nak terima kasih kau tu! Eeeii... geli!” balas gadis tu pula.
“Kau tak nak, aku pun tak ingin. Entah apalah nasib aku sejak berjumpa dengan kau...”
“Fariz...!!” panggil seseorang.
Serta-merta Fariz menoleh. Seorang pengawas lelaki menghampiri mereka.
“Eh, Helynna pun ada! Selamat pagi,” tegur pengawas itu.
“Waalaikumsalam. Dahlah Haikal, aku cau dulu,” usul Helynna, berlalu.
Haikal tersipu apabila ralatnya dibetulkan oleh gadis itu tadi.
“Kau ni apahal?” soal Fariz.
“Ni, Puan Wan suruh aku tengokkan kau. Apasal lambat sangat kau ambil kertas?” ujar Haikal.
“Tu, minah tu punya pasallah. Sakit betul hati aku. Entah apa punya perangai!” balas Fariz.
“Dahlah, nanti sangkut baru tahu.” Haikal mengingatkan.
“Kalau kau nak, kau ambillah.”
Haikal ketawa sambil menepuk bahu temannya lalu mereka melangkah menuju ke kelas.
~cont.~

Sunday, March 22, 2009

KAU KU SAYANG

bukan novel, bukan cerpen...
mungkin kombinasi di antara novel pendek dan cerpen panjang...
ini cerita yang digarap sendiri... yang tak ada kaitan di antara hidup atau mati...
kalau ada pun, kebetulan semata-mata...
idea dan kesinambungan adalah anugerah Yang Maha Esa... sungguh tak dapat dinafikan nikmat yang dikurniakan...
semoga sama-sama mengambil ikhtibar dan dapat berkongsi idea...

terima kasih dan semoga kedatangan saya dialu-alukan... (^_^)v