Pages

Wednesday, March 25, 2009

KAU KUSAYANG-(Ep.8)

Segala persiapan telah diatur. Dengan izin pengetua, majlis yang agak gilang-gemilang itu berlangsung. Semua pelajar dikehendaki menghadiri upacara yang cukup bermakna itu.
Dewan serbaguna itu kini dipenuhi dengan para pelajar dan juga guru. Semua mereka ingin menyaksikan majlis yang julung kali diadakan.
Haikal mengambil tempat sebagai pengerusi majlis bersama Syafira.
“Perhatian semua. Majlis akan dimulakan sekarang. Diharap agar hadirin memberikan kerjasama. Terima kasih.” Haikal memulakan ucapan.
“Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Yang Berbahagia Tuan Pengetua...” Kedengaran suara Syafira membuka majlis perasmian.
Helynna yang menanti di belakang berdebar. Semoga tiada halangan yang menghalang mereka untuk berjaya kali ini.
“Takut?” duga Fariz di sebelah.
Gelengan jawapan Helynna. Benar, dia tidak takut tapi gementar. Tiba-tiba dia teringat akan pertanyaan mamanya kelmarin. Dia memandang Fariz.
“Fariz... err, aku ada perkara nak...”
Bicaranya terputus apabila nama lelaki itu dipanggil untuk memberikan ucapan.
“Kita cakap lepas ni,” usul Fariz lalu melangkah pergi menaiki pentas.
Helynna mengangguk. Dilihat lelaki itu pergi. Nantilah, banyak lagi masa, cetus Helynna.
Beberapa ketika, kelihatan Kaunselor Zahar mengiringi Tuan Haji Jalaluddin untuk merasmikan majlis mereka. Kemudian, namanya disebut bagi melaksanakan upacara itu.
Sebuah laptop di atas pentas dituju. Pengetua menekan beberapa butang pada keyboard laptop atas bantuan Helynna. Beberapa saat kemudian, terpampang satu laman khas yang begitu unik di skrin putih yang agak besar. Tepukan gemuruh diberi oleh tetamu yang datang.
“Dengan ini saya mengalu-alukan kehadiran laman web pertama Kelab Remaja iaitu next-generation.com.my.”
Sekali lagi tepukan gemuruh ke udara. Helynna tersenyum. Segala usahanya tidak sia-sia.
“Kau buat sendiri ke atau abang kau yang tolong?” sindir Fariz, berbisik. Helynna mencebik.
“Huh, abang aku dengan kau tu sama! Pemalas!!!” kutuk Helynna.
Fariz tersenyum. Tak apa minah, cakaplah apa yang kau suka. Hari ini hari kau, esok lusa dan selamanya hari aku. Kau tunggu, desis Fariz.
Kemesraan mereka mengundang sembilu yang menikam di sudut hati pada insan yang cemburu. Rasa tidak puas hati sentiasa bertapak.

No comments:

Post a Comment