Pages

Sunday, April 28, 2013

Bertemu Kasih Mengikat Rindu-4


Suasana pagi yang tenang menyelimuti sebuah rumah berkembar dua tingkat, dihiasi pancaran matahari di balik kabus nipis. Kicauan burung yang berterbangan mencari rezeki untuk dibawa pulang menceriakan pagi Sabtu. Damai udara yang berpuput lembut.
Tidak diduga Puan Halina menerima tetamu yang tidak dikenalinya. Dipelawa lelaki muda itu masuk ke rumah.
“Jemputlah duduk,” pelawa Puan Halina seraya tiba di ruang tamu.
Pemuda itu mengangguk lalu duduk di hadapan wanita pemilik rumah tersebut.
“Terima kasih. Maaflah kerana mengganggu. Err… saya Fariz, guru anak puan, Puteri,” ujar Fariz, memperkenalkan diri.
Cikgu Fariz?! Ya, ada Puteri bercerita tentang diri guru muda itu. Dan… gosip yang sering kedengaran dari mulut teman-temannya, cetus Puan Halina.
“Hmm… saya tahu. Kalau cikgu nak jumpa Puteri, dia tak ada di rumah. Cikgu tentu tahu di ke sekolah pagi ni,” beritahu Puan Halina langsung wajah Fariz ditatapnya.
“Saya tahu. Saya  bukan nak jumpa Puteri tapi yang sebenarnya… saya nak jumpa puan!”
Terkejut Puan Halina mendengar penerangan Fariz. Berlapis dahinya.
“Nak jumpa saya? Kenapa?” soal Puan Halina.
Fariz tidak menjawab soalan yang terpancul dari bibir wanita itu. Dia menyeluk saku kemeja yang dipakai lalu mengeluarkan sekeping gambar lama. Gambar itu dihulurkan kepada Puan Halina. Lambat gambar kenangan itu disambut. Puan Halina menatap gambar tersebut. Nyata dia terkejut untuk kali kedua. Wajahnya mula pucat. Matanya merah menahan tangisan yang bakal meniti di raut pipinya. Dia mendongak memandang Fariz.
“Kamu… kamu… kamu Megat Fariz Hafizi Megat Hafiz?” duga Puan Halina.
Fariz hanya mengangguk. Tumpah jua airmata yang cuba ditahan. Puan Halina teresak. Fariz juga tidak mampu menahan rasa di hati. Airmatanya turut merembes.
“Mama…!!!”
Fariz bangun lalu menghampiri Puan Halina. Dia berlutut di hadapan wanita itu seraya tangan Puan Halina disambar. Tangan lembut itu dicium.
“Fariz… anak mama!!!”
Pemuda itu ditarik ke dalam dakapan. Rindu yang ditanggung selama ini terlerai juga akhirnya. Hilang segala kepedihan yang dipendam.
Sementara itu, Puteri yang baru pulang dari sekolah melangkah masuk. Tergamam dia apabila melihat dua insane yang amat dikenalinya berada di ruang tamu. Segera dia menerpa.
“Mama… Cikgu Fariz?”
Puan Halina menoleh apabila mendengar suara anak perempuannya. Mereka berdua berdiri menghadap Puteri yang tercegat memandang mereka.
“Cikgu… kenapa cikgu ke mari?” soal Puteri, kehairanan.
“Eh, kenapa mama menangis? Apa yang dah terjadi sebenarnya ni?” soal Puteri lagi.
Puan Halina mengesat airmatanya lalu memaut bahu Puteri.
“Puteri, ini abang kandung Puteri, Megat Fariz Hafizi,” beritahu Puan Halina.
Sekali lagi Puteri tergamam. Tanpa dipinta airmatanya mengalir. Serta-merta dia menangkap tubuh lelaki di hadapannya dan dirangkul erat. Fariz membalas dakapan adiknya. Syukur kerana apa yang terbuku di hati telah terluah kini. Dakapan terlerai. Puteri mencapai tangan abangnya lalu disalam dan dikucup. Terasa sinar mentari semakin galak menyinarkan kebahagiaan.

No comments:

Post a Comment