Pages

Saturday, April 27, 2013

Bertemu Kasih Mengikat Rindu-3


Waktu semakin beransur. Cahaya mentari semakin galak memancar malah bahang sinaran yang menerjah ke bumi begitu menggigit kulit. Panas dan terik.
Seorang gadis lengkap beruniform sekolah duduk di bawah pondok menunggu, menanti kehadiran ibu tersayang menjemputnya pulang. Kerap kali dia mengesat peluh yang memercik dahi dengan tisu. Wajah putihnya bertukar kemerah-merahan.
Tiada pula bayu yang sudi menghembus bagi mendamaikan dan meredakan kepanasan sinaran matahari yang terik pada waktu tengah hari ini. Gadis itu tunduk menatap buku biologi.
“Woit, Puteri! Kau tunggu siapa, hah? Ooo… tunggu Cikgu Fariz, ye?!” tegur seorang pelajar, mengusik.
Serta-merta Puteri mendongak, memandang seorang pelajar perempuan yang berdiri beberapa meter di hadapannya. Kelihatan temannya itu tersengih ke arahnya.
“Kau dah tak reti nak bagi salam dulu ke, Nina? Pakai sergah aje,” balas Puteri.
“Yalah tu, Tuan Puteri. Eh, kenapa tak balik lagi?” soal Nina.
“Aku tunggu mama aku. Sekejap lagi sampailah kot. Yang kau tanya aku ni, kau pulak kenapa tak balik lagi?” usul Puteri pula. Nina hanya menarik sengih.
“Hmm… aku adalah hal aku. Ni, nak baliklah ni. Eh, tak date ke hari ni? Aku tengok Cikgu Fariz tu tengah kesepian tu,” usik Nina.
Puteri mula berang dengan gurauan Nina yang padanya langsung tak lawak.
“Baik kau balik sebelum aku naik angin,” marah Puteri.
“La… takkan tak boleh bergurau kot? Kau ni… relaxlah. Okeylah, aku chaw dulu. Err… nanti kirim salam dekat Cikgu Fariz, ye!” Nina mengusik lagi.
Puteri menahan geram dalam hati. Nina sudah berlalu. Namun sempat gadis itu melemparkan senyuman kepadanya.
“Menyakitkan hati betul!” rungut Puteri, sendirian.
Disebabkan mulut kepoh Ninalah tercetusnya gosip cinta di antara dia dengan Cikgu Fariz malah cerita palsu itu telah tersebar di seluruh pelosok sekolah. Kisah itu kini menjadi buah mulut para pelajar, juga guru-guru sejak hamper dua bulan kebelakangan ini. Kadang-kala dirinya malu untuk menunjukkan muka di sekolah. Sinonim dengan gelaran Minah Radio, Nina gemar mereka-reka cerita. Pantang ada gossip terbaru, sekelip mata satu sekolah mengetahuinya.
Tiba-tiba terasa ada satu tangan menepuk bahunya. Puteri tersentak. Lenyap segala omelan dan khayalannya sebentar tadi. Serta-merta dia menoleh.
“Cikgu ni… terperanjat saya!!!” adu Puteri sambil mengurut dada.
Cikgu Fariz hanya tersenyum.
“Jauh Puteri mengelamun. Entah siapa yang diingatnya. Ingatkan saya agaknya…” Cikgu Fariz mengusik dengan nada bergurau seraya duduk di hadapan gadis itu.
Puteri menjeling masam.
“Eh, kenapa Puteri tak balik lagi? Dah lewat habis waktu sekolah ni,” soal Cikgu Fariz.
“Saya tunggu mama. Hmm… cikgu tunggu Cikgu Azmi ke?”
Cikgu Fariz hanya mengangguk sebelum masing-masing sepi tanpa butir bicara. Tiada modal bagi mereka untuk menyambung perbualan. Cikgu Fariz  menatap gadis bertudung di hadapannya yang sedang membaca buku biologi. Cantik, puji hatinya.
Entah kenapa setiap kali bertemu Puteri, mahu sahaja dia menangis dan menjerit, meluahkan segala yang terbuku di hati kepada gadis itu. Namun tidak kesampaian. Waktu masih belum mengizinkan dirinya berbuat sedemikian. Bagaimana perasaan Puteri kelak apabila mengetahui perkara sebenar? Terkejutkah dia? Bolehkah dia menerimanya? Bermacam-macam persoalan timbul di mindanya.
“Cikgu, boleh saya tanya sesuatu?” duga Puteri, memecahkan tembok kesepian mereka.
“Apa dia?” Cikgu Fariz yang mengelamun tadi bertanya.
“Kenapa cikgu ke mari?” soal Puteri, ingin tahu.
Senyap Cikgu Fariz tanpa jawapan. Perlukah Puteri tahu?
“Orang lain punya alasan yang tersendiri. Begitu juga saya. Sebenarnya saya ke mari untuk bertemu dengan ibu kandung saya. Kami sudah lama terpisah,” jawab Cikgu Fariz, tenang.
“Oh, begitu rupanya! Patutlah jauh cikgu mengembara,” ujar Puteri.
Lelaki itu hanya tersenyum. Tinggal beberapa hari sahaja dia di sekolah ini. Kemudian dia akan meninggalkan bumi kelahirannya… dan juga Puteri. Gadis di hadapannya ditatap kembali. Banyak kisah tercetus di antara mereka. Hmm…
“Puteri, saya nak minta maaf,” ucap Cikgu Fariz.
Berkerut dahi Puteri sambil matanya memandang Cikgu Fariz.
“Kenapa nak minta maaf pulak?” duga Puteri, tak faham.
“Sebenarnya… saya nak minta maaf pada Puteri atas gosip yang melanda di antara kita. Disebabkan saya, Puteri malu untuk berdepan dengan warga sekolah.”
“Hmm… saya pun begitu, cikgu. Kerana saya, cikgu dapat aib di sekolah ni. Nama baik cikgu dah tercemar,” balas Puteri, perlahan.
“Eh, itupun mama! Err… saya pulang dulu, cikgu,” usul Puteri tiba-tiba apabila matanya menangkap sebuah kereta Proton Wira putih yang berhenti di tepi pagar sekolah.
Puteri menyambar beg sandangnya. Cikgu Fariz hanya mengangguk. Dia hanya melihat Puteri  berlalu. Dari jauh, dia merenung wajah pemandu kereta tersebut. Wanita yang mengenakan tudung litup itu ditatap lama. Dia begitu rindu untuk merenung wajah redup milik wanita itu. Bilakah dia dapat berbuat sedemikian?

No comments:

Post a Comment