Pages

Sunday, June 7, 2009

DIA IBUKU-6

“Woi, Syah! Awat lu kelam-kabut sangat ni. Nak pi mana?” soal Jeffry sewaktu datang menghampiriku. Ketika itu aku sedang memakai topi keledar.
“Mana lagi, cau rumahlah. Apahal lu tanya? Ada rancangan ke?” soalku, mula memanjat badan motosikal.
“Jom rumah aku dulu. Ada benda aku nak kasi kau,” ujar Jeffry.
“Apa dia?” soalku.
“Dekat rumah nanti. Di sini bahayalah. “ Jeffry memasang topi keledar di kepala.
Tanpa banyak soal, aku menurut. Setelah menghidupkan enjin, aku memecut laju. Jeffry menyusulku di belakang.

***

Puas sudah aku menyatakan kebencianku kepada ibu tiriku. Tayar keretanya pernah aku pancitkan, Proton Wiranya pernah aku calarkan. Tak cukup itu laptopnya aku siram dengan air. Kemudian, aku sengaja pecahkan cermin hadapan kereta Proton Wiranya dengan meletakkan gula-gula Hacks di permukaan cermin yang terdedah kepada cahaya matahari yang terik.
Aku menjadi semakin liar. Aku mula berjinak-jinak dengan rokok dan kini aku semakin berani mengambil pil khayal. Itu paling dahsyat yang pernah aku lakukan. Dulu, benda itulah yang paling aku benci kerana aku tahu keburukannya terhadap kesihatan. Tapi kini itulah teman yang boleh membantuku menenangkan perasaan.
Bukan sekali dua aku ditahan di sekolah kerana berkelakuan tidak senonoh. Sudah berbuih mulut pengetua menasihati dan memberi amaran. Begitu juga Puan Jasmine. Semuanya masuk telinga kiri keluar telinga kanan.
Suatu hari aku ditangkap bersama Jeffry kerana mengedar pil khayal di sekolah lalu dibawa menghadap pengetua. Setelah diperiksa, aku dan Jeffry didapati bersalah. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Ibu bapa Jeffry telah dihubungi. Aku menjadi semakin bimbang. Aku merayu agar ayahku tidak dipanggil ke sekolah. Tapi pada siapa ingin kuminta pertolongan?. Tiba-tiba aku teringat pada Puan Jasmine. Namun hajatku itu terbantut apabila mengingatkan sikapku terhadapnya.
Serentak itu, pintu dikuak dari luar. Puan Jasmine masuk bersama Pak Long. Wajahnya kulihat penuh kehampaan. Aku tahu aku bersalah namun apakan daya. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan tiada gunanya.
Entah apa yang diucapkan oleh Tuan Pengetua kepada Pak Long. Dan yang aku pasti Jeffry telah dibuang sekolah. Ya ALLAH, sampai begitu sekali!. Baru sekarang aku mengingati Tuhan Yang Maha Kuasa.
“Tolong, tuan. Tolong jangan buat begitu. Tolong beri dia peluang sekali lagi. Dia terpengaruh dan dipengaruh untuk melakukan perkara itu. Saya jamin perkara seperti ini takkan berulang lagi.”
Aku menoleh memandang Puan Jasmine yang sedang merayu kepada pengetua.
“Awak ibunya, kenapa awak tak mampu untuk mengawal sikapnya di rumah atau di luar rumah?” duga Tuan Pengetua. Kulihat Puan Jasmine tunduk memandang lantai. Aku bimbang kalau-kalau dia membongkar sikap aku terhadapnya.
“Maaf, tuan. Saya tidak tahu untuk menjadi seorang ibu yang baik,” ujar Puan Jasmine perlahan.
Hatiku tersentuh mendengar tuturan yang lembut itu. Kini aku dapat lihat sikap penyayang Puan Jasmine. Tak sangka dia mirip kepada ibuku, Datin Afiqah. Nyata aku menyesal dengan tindakanku kepadanya.
Baru sekarang aku mengenal mana satu permata, dan apa itu kaca. Kaca tetap akan menyakitkan walau sekecil manapun. Tidak seperti permata walau disalut lumpur sekalipun ia akan tetap bersinar.
“Saya janji perkara ini tidak akan berulang lagi. Saya jamin dengan jawatan saya sekarang. Kalau Syahrir melakukan kesalahan jenayah yang berat, tuan boleh ambil tindakan terhadap saya. Tapi tolong jangan hancurkan masa depan anak saya, tuan,” rayu Puan Jasmine.
Ada butir jernih mengalir di pipi gebunya. Sungguh suci kasih ibu yang dimilikinya. Aku turut merasa sebak. Aku menghampiri Puan Jasmine.
“Ibu....!” panggilku.
Serta-merta Puan Jasmine menoleh ke arahku. Tangannya kusambar lalu kukucup lama. Tak diduga air mata lelakiku mengalir. Aku tahu Puan Jasmine tergamam dengan tindakanku. Aku mendongak memandangnya.
“Maafkan Syah, ibu. Syah banyak buat salah pada ibu. Syah banyak berkasar dan selalu hina ibu. Syah minta maaf ,” pohonku dalam teresak.
Kulihat Puan Jasmine tidak mampu untuk meluahkan kata. Dia hanya mampu tersenyum lalu mengucup dahiku.
“Begini cikgu. Saya dah lihat laporan disiplin anak cikgu. Saya dapati dia tak pernah melakukan sebarang kesalahan salah laku di sekolah sebelum ini. Dan saya lihat dia merupakan seorang pelajar yang bijak dalam pelajaran, juga merupakan seorang pelajar harapan sekolah...”
“Saya akan tarik balik keputusan saya untuk membuangnya dari sekolah. Cuma satu yang saya harapkan agar cikgu dapat memastikan kejayaannya kelak,” jelas pengetua.
Puan Jasmine kembali tersenyum. Aku turut bersyukur kerana diberi peluang untuk menebus kembali kesalahan yang telah aku lakukan.
“Terima kasih, tuan,” ucapku.
“Bukan pada saya tapi pada ibu awak, Syahrir,” balas pengetua.
“Terima kasih ibu.”
Tangannya sekali lagi kukucup.

No comments:

Post a Comment