Pages

Sunday, June 7, 2009

DIA IBUKU-5

Sejak ayah memiliki isteri baru, aku tidak lagi berminat untuk belajar. Tumpuanku di dalam kelas hilang.
Aku juga mula rapat dengan sepupuku, Jeffry yang sebaya dengan umurku cuma berlainan kelas. Dia lebih cenderung mempelajari bidang perakaunan dan ekonomi. Jeffry merupakan anak Pak longku iaitu abang kepada ibuku.
Tanpa sedar, aku telah berubah. Daripada seorang pelajar kebanggaan sekolah kepada pelajar yang bermasalah. Waktu itu juga aku terpengaruh dengan tabiat dan aktiviti sosial Jeffry yang agak keterlaluan.
Pelajaran tidak lagi kuendahkan. Aku lebih gemar berpeleseran hingga lewat malam bersama Jeffry dan temannya. Aku merasa bangga kerana tiada siapa berani menegurku termasuk guru kaunseling di rumahku.
Suatu malam, aku pulang lewat. Jam menunjukkan pukul 12.35 tengah malam. Apabila pintu dikuak, aku terperanjat melihat ayah sedang menungguku di ruang tamu.
“Baru pulang, Syah?”, tegur ayah.
Aku diam membisu. Kakiku ayun untuk melangkah menuju ke bilik.
“Nanti dulu, Syah. Ayah sedang bercakap dengan kau ni. Mana kau pergi sampai balik lewat malam begini?.” Aku masih membatu.
“Jawab Syah. Ayah sedang bercakap dengan kau.”
Tidakku sahut panggilan ayah. Aku tunduk memandang lantai. Takut untuk bertentang mata dengan ayah. Yang pasti suaranya mula meninggi.
“Pekak ke?. Setahu ayah kau dilahirkan normal tanpa sebarang kecacatan.” Ayah mula berang.
“Syah keluar dengan kawan.” Untuk pertama kalinya aku bersuara.
“Sampai lewat malam begini?. Kau ke mana?” soal ayah.
“Kan Syah beritahu tadi, Syah keluar dengan kawan.”
“Dengan siapa kau keluar tadi?”
“Dengan Jeff. Kenapa ayah nak soal Syah macam pesalah? Syah tahulah apa yang Syah buat. Dan yang penting Syah tak ganggu ayah dengan isteri ayah.”
Aku tak tahu di mana hadirnya kekuatan dalam diriku untuk melawan kata ayah. Mungkin datangnya dari hati yang penuh dengan perasaan dendam.
Kulihat ayah melangkah menghampiriku. Wajahnya yang tegas berani kutenung.
“Kau semakin biadap sekarang. Dah pandai balik lewat malam, berpeleseran, berfoya-foya, buat perangai di sekolah dan entah apa lagi perkara buruk yang kau lakukan. Pelajaran entah ke mana.”
“Buat apa belajar. Duit ayah yang melambak tu kalau bukan untuk Syah, untuk siapa lagi?. Untuk perempuan yang tak sedar diri tu?”
“Kurang ajar!!” jerkah ayah.
Satu tamparan hinggap di pipiku. Serta-merta tangan kiriku meraba bekas tamparan ayah. Terasa sesuatu mengalir dari pinggir bibir seraya kukesat. Darah!!.
“Abang!. Apa yang abang buat ni?” ujar Puan Jasmine, meluru menuruni tangga menghampiri ayah.
“Bawa bertenang, bang,” pujuk Puan Jasmine.
“Syah tak sangka ayah sanggup pukul Syah kerana perempuan ni.”
“Diam Syah...” jerit ayah.
“Syah tahu apa yang Syah lakukan, dan ayah tak perlu ambil peduli lagi apa yang Syah buat. Itu hak Syah. Sama ada ayah suka atau tidak terpulang. Syah tak perlukan perhatian lagi.” Aku tekad.
Langkahku diatur menuju ke bilik. Dendamku semakin membara. Sekilas aku menjeling ke arah ibu tiriku. Semakin membuak perasaan marah.
“Syah, nanti dulu,” panggil Puan Jasmine. Tidakku pedulikan. Aku terus berlari masuk ke bilik.

No comments:

Post a Comment