Pages

Sunday, June 7, 2009

DIA IBUKU-4

Pohon durian yang sedang lebat berbuah kutenung. Fikiranku kosong. Saat itu aku terkenangkan ibu. Datin Afiqah yang pernah membelai kasih sayang kepada ku telah pergi atas seruan Ilahi. Pergi kerana penyakit kanser payudara. Pergi membawa cinta yang paling agung.
“Apa kau buat dekat sini, Syah?. Nenek kamu cari,” tegur seseorang.
Aku menoleh. Wajah atok kulihat. Aku menggeleng tanda menjawab soalan atok sebentar tadi.
“Jauh kau mengelamun, Syah. Apa sahajalah yang diingatnya.”
“Tak ada apa-apa ,Tok. Syah cuma teringat akan arwah ibu. Terasa rindu pula pada dia,” luahku lalu tunduk.
Atok duduk di sisiku. Dia masih memandangku. Aku tahu apa yang ingin diucapkan kepadaku.
“Bukan atok nak marah Syah tapi sikap Syah tu tak sopan. Menghalang ayah Syah mendirikan masjid yang kedua tu tak elok dipandang orang.”
“Tapi Tok....”
“Biar ayah Syah buat keputusan dia sendiri. Dia buat begitu untuk kebaikan Syah juga.” Atok memujuk.
“Tapi Tok, kalau ayah kahwin lain maknanya ayah dah tak sayangkan ibu dan juga Syah.”
“Syah suka fikir yang bukan-bukan. Tak baik tau,” pesan atok.
Huh, atok pun macam Daniel!. Lebih menyebelahi ayah daripadaku. Masih teringat kata-kata Daniel tempoh hari.
“Bukan semua ibu tiri jahat macam dalam cerita ‘Snow White’ dan ‘Cinderella’.”
Cerita klasik Inggeris diceritakan pada aku. Apa, ingat aku ni budak perempuan?.
“Jangan bersikap macam budak-budak. Syah dah besar, dah boleh buat keputusan sendiri. Fikiran tu biar matang. Jangan terburu-buru menilai sesuatu yang baru. Atok tak suka sikap Syah yang asyik nak membantah. Cuba terima takdir ALLAH S.W.T. seadanya.”
Aku diam mendengar nasihat atok. Sejenak aku fikirkan. Entah apa yang patut aku lakukan.
Malam tadi puas aku dileteri oleh nenek yang marah dengan sikapku yang entah apa-apa. Nenek kata aku degil. Nenek tahu tak yang Syah menyayangi ibu, anak nenek sepenuh hati?. Tak ada sesiapa mampu menandingi kasih sayangnya.

***

Hari ini persekolahan penggal kedua bermula. Seperti biasa aku bersiap dan turun dari bilik. Di ruang makan kulihat ayah sedang duduk menghadap sarapan pagi.
“Sarapan Syah,” pelawa Cikgu Jasmine atau lebih jelas lagi Puan Jasmine yang muncul dari dapur.
“Tak payah,” balasku kasar.
Aku terus menyandang beg dan berlalu untuk ke sekolah. Motosikal yang ditunggangi kupecut sekuat hati.
Dari semalam, sejak kupulang dari kampung, tidak kunampak bibit-bibit kemesraan yang bakal terjalin di antara aku dan isteri baru ayah. Hatiku membara melihat keakraban mereka seakan sepasang kekasih yang terpisah lama dan baru berpeluang untuk mengecapi keindahan cinta.
Tiba di sekolah. Aku meletakkan motosikalku di garaj yang disediakan. Di situ Daniel telah menantiku. Aku tahu tujuannya lalu menghampiri temanku itu.
“Kau nak apa?” soalku mendadak.
“Apa dah jadi dengan kau ni, hah?” soal Daniel pula.
“Jadi apa?” dugaku, hairan.
“Aku telefon rumah kau, ayah kau kata kau balik kampung. Jadi, aku hubungi telefon bimbit kau, tak berjawab. Aku hantar mesej pun tak berbalas. Apa kena ni, Syah?”.
“Ah, malas aku nak balas balik!. Kau tentu banyak soal nanti. Lagipun, aku nak tenangkan fikiran aku.”
“Tenangkan fikiran?!. Itu bukannya tenangkan fikiran tapi lari dari menerima kenyataan,” ujar Daniel.
“Cakaplah apa yang kau nak cakap. Aku tetap dengan cara aku. Kau usah peduli apa yang aku lakukan. Itu hal aku,” tegasku.
Terus aku berlalu menuju ke kelas. Tidak kuhiraukan Daniel yang termangu-mangu dengan tindakanku. Dalam hatiku cuma ada perasaan dendam.

No comments:

Post a Comment