Pages

Sunday, June 7, 2009

DIA IBUKU-3

Esok cuti penggal akan bermula. Aku mula merasakan sesuatu yang tidak selesa. Ayah memberitahuku bahawa dia akan melangsungkan perkahwinannya pada waktu cuti sekolah. Katanya lagi bakal ibu baruku itu seorang yang penyayang.
Ah, peduli apa!. Apapun dia telah merampas kasih sayang ayah dari aku dan aku terpaksa berkongsi kasih dengannya.
“Kasih ayah pada Syah tidak akan berkurang malah bertambah dengan kehadiran ibu Syah nanti.”
“Dia bukan ibu Syah!,” aku menegaskan pendirianku.
Sejak peristiwa itu aku langsung tidak bertegur sapa dengan ayah. Aku tidak tahu bagaimana hendak menghabiskan waktu cuti selama seminggu ini.
Riuh suara pelajar 5 Sains 1 merencatkan khayalanku. Aku lihat mereka sedang membaca sesuatu. Daniel datang menghampiriku.
“Nama ayah kau Datuk Helmi bin Kamaruddin, kan?” soal Daniel.
Aku mengangguk. Daniel menepuk bahuku. Ada sesuatu yang ingin disampaikan tapi tidak dapat diluahkan.
“Kenapa Daniel?” soalku.
Daniel menggelengkan kepala. Dia duduk lalu mengeluarkan buku teks Sejarah Malaysia.
“Cakaplah, kenapa ni ?” desakku.
“Nanti kau tahulah.”
Daniel membatu. Geram aku melihat gelagatnya. Apa rahsia yang disorokkan daripada aku?
***

Aku bercadang untuk menghabiskan cuti persekolahanku di kampung. Hasratku itu telah aku suarakan kepada ayah. Pada awalnya ayah membantah dan mahu aku bercuti bersama keluarga tapi aku menolak keras. Alasanku aku tidak mahu bergaduh dengan ayah dan tidak mahu menimbulkan masalah dengan isteri barunya.
Terpaksa ayah beralah dengan keputusanku walaupun dia tidak setuju.
Malam itu bakal isteri baru ayah akan bertandang. Ayah menasihatiku supaya tidak melakukan sesuatu yang tidak patut.
“Syah tak mahu jumpa dia!”
“Ayah rasa Syah mesti suka padanya kerana Syah mengenalinya.”
Kata-kata ayah tidakku ambil pusing.Aku memasuki bilikku.
Kedengaran bunyi enjin memasuki perkarangan rumahku. Aku melangkah menuju ke balkoni. Terpandang sebuah kereta Proton Wira Aeroback 1.5 berwarna merah metalik. Seakan biasa kereta itu kulihat di garaj sekolah. Seperti kereta Cikgu... Ishh, mengarut!.
Pintu bilikku diketuk. Segera aku menguak daun pintu. Mak Mah berdiri di hadapanku.
“Ada apa Mak Mah?” soalku.
“Datuk panggil encik.”
“Sebentar nanti saya turun.” Daun pintu kututup kembali. Aku melangkah ke meja komputer lalu mematikannya.
Gerak kaki kuatur lemah menuju ke ruang tamu. Di tangga yang terakhir aku berdiri. Ayah yang sedar akan kehadiranku menoleh lalu berdiri.
“Syah , perkenalkan ibu mu.”
Wanita itu berdiri lalu menoleh ke arahku. Terpaku aku melihat wanita yang bakal menjadi suri hidup ayahku. Aku benar-benar terkejut.
“Apa khabar Syahrir?” sapa wanita itu.
“Cikgu Jasmine?!”. Suaraku antara dengar atau tidak.
“Di sekolah dia cikgu Syah tapi di rumah dia ibu,” ujar ayah.
“Ayah tahu tak apa yang ayah dah lakukan ni ?”. Aku mula meninggikan suara. Berang aku dengan tindakan ayah.
“Tak salahkan ayah mencari seorang ibu yang baik untuk Syah...”
“Syah tak perlukan sesiapa untuk menjaga Syah. Syah dah besar. Lagipun , Syah lelaki. Syah tak mahu hidup dikongkong setiap hari sama ada di sekolah atau di rumah.”
“Saya takkan kongkong Syah...”
“Cikgu tak berhak bersuara”, jerkahku dengan nada marah.
“Diam , Syah. Jangan nak kurang ajar. Ayah tak pernah ajar kau bersikap biadap,” marah ayah.
“Huh!!,”. Aku mendengus marah lalu berlari menuju ke bilik.
Aku mencapai kunci motor dan berlalu menuju ke luar.
“Nak ke mana tu Syah?”
Tidakku sahut panggilan ayah. Aku menaiki motosikal dan meninggalkan rumah banglo dua tingkat itu. Aku menunggang motosikal tanpa tujuan. Tidak tahu mana hendak dituju pada waktu malam begini.
Aku teringat soalan Daniel pagi tadi. Patutlah dia kelihatan serba salah. Tentu dia sudah tahu dahulu siapa ibu tiri aku. Ah , tak guna!!!.
Pedal minyakku pulas sekuat hati. Tiba-tiba aku teringat akan sepupuku, Jeffry. Baik aku ke sana.

No comments:

Post a Comment