Pages

Sunday, June 7, 2009

DIA IBUKU-2

“Apahal cikgu nak jumpa saya?” dugaku seraya duduk di hadapan Cikgu Jasmine.
Guru kaunseling itu sekadar tersenyum. Aku pelik melihat telatahnya. Tiada sebutir bicara pun yang terluah dari bibirnya. Mungkin dia teringat kekasih hati. Aku ada terdengar berita bahawa guru di hadapanku ini akan menamatkan zaman bujangnya pada cuti sekolah akan datang.
Sekali lagi aku berasa hairan. Usianya yang hampir mencecah 40 tahun baru mendirikan rumah tangga?. Mungkin jodohnya baru tiba. Ayahku juga begitu. Ayah?!. Tidak!!. Aku tak izinkan ayah berkahwin lain.
“Syah...!”tegur Cikgu Jasmine.
Aku mendongak. Wajah Cikgu Jasmine yang cantik kurenung. Ada sifat keibuan kulihat di raut wajahnya.
“Ada masalah ke ?” soalnya.
Tepat tekaanku. Dia cuba menyelongkar masalah yang membelenggu diriku.
“Tidak mahu berkongsi masalah dengan saya?” duganya lagi.
“Kalau awak tidak mahu ceritakan pada saya, tak mengapa. Cuma saya harap awak tak bawa masalah awak itu ke dalam kelas. Tak lama lagi awak akan menghadapi SPM. Saya tak mahu pelajaran awak terganggu.”
Diam dan teliti aku mendengar nasihat Cikgu Jasmine. Apa yang cikgu tahu?. Ayahku mahu berkahwin lagi.
“Awak pelajar yang cemerlang dan harapan sekolah untuk SPM. Jangan hampakan harapan insan yang mahu melihat kejayaan awak,” nasihatnya lagi.
Tidak aku bersuara, membiarkan guru yang bakal menjadi raja sehari itu mengeluarkan hujahnya.
Kedengaran bunyi loceng yang begitu nyaring menjerit, tandanya waktu rehat tamat. Aku meminta izin untuk keluar dan kembali ke kelas, menyambung sesi P&P.
Setibanya di kelas, aku lihat pelajar perempuan sibuk bersembang. Ada gosip panaslah tu, gerutu hatiku. Kalau tak apa lagi. Dasar kaki kepoh!!
“Betul apa yang aku dengar tadi. Cikgu Suraya kata Cikgu Jasmine tu nak kahwin dengan ahli perniagaan berpangkat Datuk,” cerita Halina, mulut laser sekolah sungguh-sungguh.
“Lepas tu, anak Datuk yang bakal jadi anak tiri Cikgu Jasmine bersekolah di sini,” sambung Halina.
Aku memasang telinga. Tak sangka. Terdetik di hatiku untuk mengetahui siapa bakal anak tiri guru matematikku itu. Sanggupkah Cikgu Jasmine menghadapi kerenah keluarga suaminya?
“Datuk tu duda anak satu!”
Kedengaran suara Halina lagi. Duda anak satu?!. Ish, takkanlah!. Aku duduk di tempatku. Dengan siapa ayah mahu bernikah?. Peduli apa!.
“Apahal Cikgu Jasmine jumpa kau tadi?” soal Daniel.
“Sengaja tanya khabar,” jawabku acuh tak acuh.
Daniel mengerut dahi. Mukaku direnungnya.
“Kau ada masalah ke, Syah?”
“Tak adalah. Kau tak perlulah risau.” Aku cuba meyakinkan Daniel.
“Yalah, Cikgu Jasmine bolehlah kau tipu. Dengan aku kau tak boleh nak kelentong,” ujar Daniel.
Aku memandang Daniel, sahabatku sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Sahabat dan juga teman yang sering menjadi tempat aku mengadu, meluahkan perasaan.
“Ayah aku, Daniel. Dia mahu berkahwin lagi,” ujarku, perlahan.
“Ha, baguslah!. Apa yang kau risaukan?” balas Daniel, riang.
Serta-merta aku mengerutkan dahi. Tak kuduga Daniel menyokong keputusan ayahku.
“Kau suka ?” dugaku.
“Hmm... sudah tentu. Kau pula?”
“Aku rasa kau sudah tentu tahu jawapan aku.”
“Tapi, kenapa kau menolak, Syah?. Biarlah ayah kau berkahwin lain,” ujar Daniel, hairan.
“Tidak ada orang lain layak menggantikan tempat ibu aku di rumah.” Aku menegaskan pendapatku.
“Itulah sebabnya ayah kau ingin berkahwin lain. Ayah kau perlukan seorang isteri yang boleh menemaninya di kala dia kesunyian.”
“Ah, alasan!. Kenapa baru sekarang dia membangkitkan hal itu?. Sudah dua tahun ibu aku meninggal dunia, kenapa baru sekarang?. Kenapa tidak pada waktu itu dia menyatakannya?”.
Daniel menggelengkan kepala apabila melihat aku semakin berang.
“Kau ingat dia tak sayang pada ibu kau?. Kau tak boleh salahkan dia 100 peratus dalam hal ini. Cuba kau berbincang dengannya?”
“Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Kau cuma perlu faham hati dia sahaja,”ujar Daniel.
Nasihat Daniel berlalu bagaikan angin. Sikitpun tidak aku ambil sebagai panduan. Senanglah cakap sebab bukan kau yang merasa, desis hatiku. Sakit hati aku apabila terkenangkan wanita yang bakal menjadi ibu tiriku. Perempuan tak tahu malu!.
“Sudahlah, jangan difikirkan sangat. Itu jodoh namanya. Takdir Tuhan mahu kau memperoleh seorang ibu yang Mithali.” Daniel berkhutbah lagi.

No comments:

Post a Comment