Pages

Sunday, June 7, 2009

DIA IBUKU-1

Fikiran aku bercelaru. Aku tidak dapat menumpukan perhatian di dalam kelas. Di minda masih terlekat kata-kata ayah malam tadi.
“Kau sibuk, Syah?” soal ayah ketika melihat aku begitu khusyuk menonton televisyen di ruang tamu.
Aku menoleh ke arahnya seraya menggelengkan kepala.
“Ayah ada hal nak bincang dengan kau”, ujar ayah. Aku sedia mendengar.
“Ayah nak kahwin lagi!”, beritahu ayah.
Gumam aku seketika. Aku memandang ayah. Aku tidak tahu apa perasaan yang aku rasai kini. Yang pasti aku terkejut mendengar pernyataan ayah sebentar tadi.
“Syah tak setuju!”.Aku mula membentak. Giliran ayah merenungku.
“Tak ada sebab ayah untuk kahwin lagi. Syah tak suka ayah kahwin lagi.”
“Tapi Syah, ini untuk kebaikan Syah juga.”Ayah cuba meyakinkanku.
“Untuk apa?! Selama ini ayah tak pernah membangkitkan perkara ini tapi kenapa tiba-tiba ayah hendak berkahwin pula?” tegasku, sedikit berang.
“Ayah perlukan seorang wanita bergelar isteri untuk menjaga ayah dan kau memerlukan seorang ibu yang boleh menghulurkan kasih sayang kepada kau,” jelas ayah, sekali lagi cuba memujuk.
“Tiada sesiapa mampu menggantikan ibu. Syah tak perlukan orang lain untuk memberikan kasih sayang kepada Syah. Syah tak perlukan semua itu!”. Aku membantah.
“Cuba Syah dengar dulu apa yang ayah nak kata. Tak elok diikutkan perasaan tu sangat,” pujuk ayah.
“Arghh...tidak!!. Kalau ayah kahwin lain, ayah kena langkah mayat Syah dahulu !!”
Tanpa menghiraukan ayah yang terkejut dengan kata-kata itu, segera aku
bangun dan berlari menuju ke bilik. Aku tahu betapa luruh hati ayah mendengar ucapan aku tadi tapi... ah, biarkan!.
Lamunan aku mati apabila aku terasa lenganku disiku oleh seseorang. Segera aku menoleh memandang teman di sebelahku , Daniel. Ada isyarat dihulurkan. Aku memandang hadapan. Wajah guru matematik kulihat difokuskan ke arahku. Aku kalut.
“Berangan dalam kelas Syah!” tegur Cikgu Jasmine.
Terasa panas muka aku menahan rasa malu yang menebal. Aku tahu pelajar-pelajar kelas 5 Sains 1 sedang memerhatikanku.
“Jumpa saya waktu rehat nanti,” pesan cikgu Jasmine.
Aku membatu. Cikgu Jasmine meneruskan pengajarannya yang terganggu. Aku cuba memberi tumpuan terhadap pembelajaran.
“Kenapa dengan kau ni, Syah?” soal Daniel, berbisik.
“Kenapa?”soalku.
“Dari tadi aku tengok kau asyik mengelamun aje. Kau ada masalah ke?” soal Daniel lagi.
“Tak ada apalah. Aku okey.”
Kubiarkan Daniel dengan teka-tekinya. Fikiranku ligat memikirkan tujuan Cikgu Jasmine ingin menemuiku. Mesti tentang perkara tadi. Tentu Cikgu Jasmine mahu mengorek rahsiaku. Ah, aku bukannya seperti budak perempuan yang suka mengadu!. Ini Syahrir Datuk Helmi. Pedulikanlah.

No comments:

Post a Comment