Pages

Sunday, June 7, 2009

DIA IBUKU-7 [akhir]

Aku melangkah menuju ke arah seorang wanita yang sedang berehat di balkoni banglo dua tingkat itu. Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun berada di pangkuannya.
Terasa amat rindu setelah lima tahun tidak berjumpa. Aku tersenyum sendiri. Ada yang ingin aku lakukan untuk mengusik wanita tersebut.
Perlahan sudah langkahku. Kini aku berdiri di belakang wanita yang tidak sedar akan kehadiranku.
“Assalamualaikum, ibu,” sapaku.
Wanita itu menjawab salamku seraya menoleh. Ada riak terkejut di wajah manisnya. Aku tersenyum sambil bersalam lalu mengucup tangannya.
“Ibu apa khabar?” soalku.
“Syah, bila Syah sampai?. Kenapa tak beritahu ibu?. Boleh ibu jemput Syah di airport,” ujar ibu alias Puan Jasmine, masih dalam keadaan terkejut.
“Sengaja Syah nak buat suprise pada ibu. Mimi apa khabar?. Makin comel adik abang ni,” usikku.
Aku mencuit pipi adik perempuan ku yang montel. Sungguh manja dia. Aku mengambilnya dari dakapan ibu ke dalam dukunganku.
Ibu masih merenungku. Aku tahu apa yang tersirat dalam fikirannya. Ibu yang banyak berjasa mempertahankanku dari tindakan undang-undang sekolah dan membimbingku ke arah sinar baru.
Baru aku tahu rupanya ibu adalah kekasih ayah sebelum ayah diijabkabulkan dengan arwah ibuku. Aku sedar bahawa aku banyak melakukan kesalahan dan aku yakin kesilapan lama tidak akan berulang.
“Ibu, ibu tahu tak hari ini hari apa?” soalku memecahkan kesunyian yang mula hadir dalam pertemuan kami.
“Hari ini hari Sabtu. Kenapa?”
“La, cuba ibu ingat betul-betul. Hari ini hari apa?” desakku.
Kulihat ibu mula memikirkan sesuatu. Aku tunduk membuka beg pakaianku lalu mengeluarkan bungkusan berbentuk segi empat sama. Bungkusan itu kuhulurkan kepada ibu.
“Hari ini adalah hari ibu. Buat ibu tersayang, Syah ucapkan semoga ibu bahagia selalu.”
Air mata ibu bergenang. Lambat dia menyambut huluranku itu.
“Buat susah saja,” balas ibu.
“Tak susah. Syah yang banyak menyusahkan ibu. Kalau tidak kerana ibu Syah tentu tidak mencapai tahap seperti ini. Syah juga mungkin akan menjadi seorang .....”
“Ishh, apa yang Syah merepek ni?”. Ibu memutuskan bicaraku.
“Benar apa yang Syah cakapkan.”
“Kan kita janji tidak akan mengungkit perkara itu lagi. Sudahlah, lupakan saja.”
Ibu mengesat air mata. Aku mengangguk. Ibu membelek hadiah di tangannya.“Terima kasih ibu. Aku berbangga mempunyai seorang ibu sepertimu. Terimalah pemberian yang tidak sepertinya ini sebagai hadiah sempena Hari Ibu kali ini.”

No comments:

Post a Comment