Pages

Thursday, April 25, 2013

Bertemu Kasih Mengikat Rindu-1

“Apa semua ni, Puteri?” jerit Puan Halina dari dalam bilik anaknya.
Seorang gadis yang mendengar suara lantang mamanya kelam kabut berlari menuju ke bilik. Kedengaran suara wanita itu keras.
“Kenapa, mama?” soal Puteri.
Puan Halina memandang wajah Puteri. Serius. Soalan anaknya tidak dijawab. Di tangannya terdapat  beberapa keeping gambar milik Puteri. Tergamam gadis itu apabila melihat gambar yang berada dalam genggaman Puan Halina. Riak wajahnya bertukar. Pucat dan takut untuk menatap mamanya yang semeter di hadapannya.
“Mama hantar Puteri ke sekolah untuk belajar. Bukan untuk bercinta!!” jerkah Puan Halina.
“Tapi mama… Puteri tak ada apa-apa dengan Cikgu Fariz. Betul…” beritahu Puteri, gugup.
“Jangan nak tipu mama. Kalau tak ada apa-apa, ni semua apa?”
Kepingan gambar di tangan dilempar di hadapan Puteri. Sekali lagi Puteri tergamam dengan tindakan mamanya. Matanya mula terasa panas. Ah, janganlah kau mengalir, wahai airmata!
“Betul, Puteri tak ada apa-apa hubungan dengan Cikgu Fariz.”
Puteri cuba meyakinkan Puan Halina. Rasa sebak di hati ditahan.
“Macam-macam cerita mama dengar pasal Puteri dengan lelaki tu. Cikgu dekat sekolah tu ada yang mengadu pada mama. Jangan nak buat mama malu, Puteri.”
“Betul, mama. Semua yang mama dengar tu tak betul. Puteri masih tahu batas-batas pergaulan. Percayalah. Puteri tak bohong mama,” ujar Puteri, memujuk.
“Baik. Mama akan percaya cakap Puteri. Itupun kalau mama tak ada dengar lagi cerita Puteri dengan Cikgu Fariz. Mama tak suka Puteri rapat dengan dia. Ingat tu, Puteri Farisha!!”
“Tapi Cikgu Fariz tu…”
“Tak ada tapi-tapi lagi. Mama beri Puteri kata dua. Sama ada ikut kata mama atau mama hantar Puteri ke sekolah lain. Pilihlah mana yang Puteri nak.”
Puan Halina berlalu. Gumam gadis itu dengan apa yang dikatakan oleh Puan Halina sebentar tadi. Terduduk dia di birai katil. Kata-kata mamannya benar-benar menusuk hati. Benar, dia tidak menjalinkan sebarang perhubungan dengan Cikgu Fariz. Hanya ikatan di antara seorang pelajar dengan guru mata pelajarannya sahaja. Memang diakui jalinan itu sedikit akrab tetapi bukanlah bermaksud ada satu hubungan cinta yang terpateri.
Mana mama tahu semua ni? Puteri bersoal dalam hati. Mama kata ada cikgu dekat sekolah mengadu. Ish, siapa pulak? Mana pulak cikgu tu tahu? Banyak persoalan yang bermain di mindanya. Takkan… ish, tak baik menuduh tanpa bukti! Tapi… Minah Radio tu bukan boleh percaya.
Puteri mencapai sekeping gambar yang bertaburan di atas lantai. Seketika wajah lelaki yang berdiri di sisinya ditatap. Gambar itu diambil semasa mereka mengikuti satu rombongan sambil belajar ke Negeri Bersejarah, Melaka. Lelaki itu mengiringi rombongan mereka selaku guru kelas dan guru pengiring.
Ah, aku tak bercinta dengan Cikgu Fariz!!! Cikgu Fariz? Ya, Cikgu Fariz atau nama sebenarnya Megat Fariz Hafizi. Bekas penuntut Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia yang sedang menanti panggilan untuk kemasukan ke universiti.
Tidak dinafikan guru muda itu cukup kacak malah sering menjadi bualan para gadis di sekolah. Namun dia yang menjadi perhatian guru sandaran yang berusia dua puluh tahun itu. Tidak pernah diduga bahawa tumpuan diberikan khusus untuknya di dalam kelas.
Apapun… ada sesuatu yang memusykilkan dirinya. Hairan. Kenapa lelaki itu sanggup merentasi lebuhraya yang panjang semata-mata mahu menyandang gelaran sebagai seorang guru ganti, bagi menggantikan Puan Airina yang mengambil cuti bersalin di Perak? Tiada kekosongankah di Johor? Tak mungkin dia sekadar berhijrah ke sini semata-mata mahu mengajar ilmu kimia di sekolah ini? Pasti ada sebab, desis Puteri dalam hati.
Teringat di satu petang ketika mereka duduk di pondok bacaan sambil berbual setelah tamat sesi perjumpaan Persatuan Sains. Tenang angin petang yang membuai, menyapa mereka.
“Puteri tinggal dengan siapa sekarang?” soal Cikgu Fariz.
“Dengan mama.”
Ringkas jawapannya. Wajah guru muda yang kacak itu ditatap.
“Ayah Puteri?” Cikgu Fariz menyoal lagi dan kali ini lebih peribadi.
“Hmm… ayah dan mama dah lama bercerai. Sejak saya kecil lagi.”
“Oh, maafkan saya! Saya tak tahu…” ucap Cikgu Fariz, sedikit kesal.
Lelaki itu menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia senyap seketika. Sebenarnya ada lagi soalan yang ingin ditanya.
“Err… kalau saya nak tanya lagi, boleh?” duga Cikgu Fariz, meminta kebenaran.
Dilihatnya gadis itu sekadar mengangguk.
“Puteri… err… tak nak cari ayah Puteri?”
Puteri membisu seribu bahasa. Soalan lelaki di hadapannya tidak dijawab. Pandangannya pula sudah dilaihkan ke tempat lain. Rasa bersalah mula singgah di hati Cikgu Fariz.
“Err… saya minta maaf kalau soalan saya membuatkan Puteri rasa…”
“Tak apa, Cikgu. Saya okey.” Segera Puteri memintas kata-kata Cikgu Fariz.
“Bukan tak nak cari tapi… saya sendiri tak tahu di mana ayah saya berada sekarang. Mama pula tak pernah bercerita tentang kisah hidup mereka kepada saya. Kalau saya bertanya, saya mesti kena marah dengan mama saya,” ujar Puteri, perlahan.
Kasut putih yang tersarung di kakinya dipandang. Dia tak tahu apa yang dirasainya sekarang.
“Cikgu tahu, saya ada seorang abang. Tapi dia tak bersama kami. Dia tinggal dengan ayah saya. Saya nak sangat jumpa mereka. Tapi… entah bila peluang tu akan tiba.”
Puteri mengakhiri ceritanya dengan keluhan. Hai, nasib! Entah bila akan berubah…
“Err… apa nama abang Puteri tu?” soal Cikgu Fariz, ingin tahu.
“Entah. Mama tak pernah bagitahu. Kalau tak salah saya, mungkin dia sekarang ni sebaya cikgu. Err… kenapa cikgu tanya?”
“Tak, tak ada apa-apa. Saja aje nak tahu.” Cikgu Fariz tersenyum, melindungi ralatnya.
Entah kenapa lelaki itu banyak bertanyakan tentang dirinya. Adakah dia tahu sesuatu tentang aku? Keluarga aku? Apa dia buat di Perak? Ada saudara marakah di sini? Atau dia sedang merantau mencari sesuatu atau seseorang di sini sehingga sanggup merentasi empat buah negeri?
Tapi… kenapa aku seolah-olah pernah mengenalinya dulu? Cetus hati kecil Puteri. Seakan kami pernah dipertemukan. Siapa sebenarnya Cikgu Fariz?

No comments:

Post a Comment